PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron yakin pengundi negara itu akan membuat pilihan tepat dalam pilihan raya mengejut yang akan diadakan selepas sayap kanan mengalahkan pakatannya dalam undi Kesatuan Eropah (EU), kelmarin.
Tindakan mengejutkan itu dibuat selepas parti-parti berpusat arus perdana mengekalkan majoriti keseluruhan di Parlimen Eropah dalam pilihan raya Ahad lalu, tetapi kumpulan sayap kanan mencatat rentetan kemenangan berprofil tinggi di Itali, Austria dan Perancis.
Jurucakap Canselor Jerman, Olaf Scholz bagaimanapun menolak undian mengejut selepas tiga parti gabungan yang memerintah di negara itu juga menunjukkan prestasi yang hambar.
Penganalisis berkata, Macron mengambil perjudian berisiko untuk membubarkan Parlimen dalam usaha mengekalkan Perhimpunan Nasional (RN) sayap kanan daripada kuasa apabila penggal keduanya berakhir pada 2027.
“Saya yakin dengan kapasiti rakyat Perancis untuk membuat pilihan yang tepat bagi diri mereka sendiri dan untuk generasi akan datang,” tulis Macron di laman X.
Pengumuman beliau mengenai pilihan raya untuk Dewan Negara yang baharu pada 30 Jun dengan pusingan kedua pada 7 Julai, mencetuskan kebimbangan yang meluas, malah termasuk dari dalam barisan partinya.
Beberapa sekutu Macron menyatakan rasa tidak setuju dengan pengumuman baharu itu, malah Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo menyifatkan prospek pilihan raya hanya beberapa minggu sebelum bermulanya Sukan Olimpik Paris sebagai amat membimbangkan.
Speaker Dewan Rendah, Yael Braun-Pivet yang juga tokoh kanan dalam parti Macron bagaimanapun berpendapat, usaha membentuk gabungan dengan parti lain boleh menjadi jalan yang lebih baik untuk mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan kini.-AFP











