PETALING JAYA: Persatuan Kriket Negeri Perlis (PKNP) dan Persatuan Kriket Perlis (PKP) disaran menyelesaikan isu pengiktirafan sebagai badan kawalan kriket yang sah di negeri itu secara dalaman.
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias menyarankan agar kedua-dua persatuan tersebut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.
“Untuk hal ini saya mengesyorkan agar kedua-dua pihak berbincang mengenai hala tuju sukan kriket di Perlis.
“Ini masalah dalaman dan jika perlu mereka perlu mengadakan perbincangan dengan MCA dan biar MCA yang menentukan persatuan mana yang sah mewakili negeri Perlis. Jika perlu bergabung, mereka perlu buat beberapa perkara untuk ke arah itu,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan PKNP yang didaftarkan pada 2018 telah mengadakan perjumpaan dengan PJS bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai badan kawalan kriket yang sah di negeri itu, PKP diwujudkan pada 2006.
Dalam pada itu, Suhardi berkata selepas kedua-dua persatuan tersebut menemui jalan penyelesaian mereka diminta untuk membentangkannya.
“Tiada jaminan untuk persatuan yang terlebih dahulu didaftarkan mereka akan kekal. Sekiranya mereka sudah ada kata putus, mereka diminta untuk datang kepada kami dan membentangkan solusi yang dicapai,” katanya. – UTUSAN










