Banteras jenayah ‘kontena terbang’ di pelabuhan

Banteras jenayah ‘kontena terbang’ di pelabuhan

AZAM Baki (dua dari kiri) bersama tetamu kenamaan selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara SPRM dan SESB di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pemantauan di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara bagi membanteras ketirisan membabitkan penipuan pengikraran barangan dalam kontena untuk mengelak dikenakan cukai.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, mana-mana negeri yang mempunyai pelabuhan akan berada dalam pemantauan SPRM.

“Kami dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membanteras ketirisan yang berlaku. Ia berlaku bila wujud rasuah dan salah guna kuasa, terutama sekali dalam kalangan mereka yang diberi amanah.

“Jadi, dalam usaha kita untuk mengembalikan wang rakyat, ini salah satu usaha kami memantau dan menjalankan operasi bersama dengan Kastam dan agensi-agensi lain bagi memastikan cukai-cukai ini dibayar serta dipungut,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Sabah Electricity Sdn. Bhd., di sini semalam,

Menurut Azam, mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penipuan pengikraran barangan dalam kontena dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada dalam Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Beliau berkata, banyak ketirisan berlaku dalam kutipan cukai seperti yang berlaku di Pelabuhan Klang, baru-baru ini apabila barangan yang diikrarkan kepada JKDM berlainan dengan isi kandungan kontena.

“Barang yang diikrarkan sebagai kerusi roda tapi rupa-rupanya apabila buka kontena tersebut mengandungi daging khinzir serta barangan lain yang sepatutnya dikenakan cukai lebih tinggi,” katanya.

Jelas beliau, modus operandi sebegini berlaku di kebanyakan pelabuhan di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×