MELAKA: Tiga guru dan seorang pembantu sebuah tadika swasta yang beroperasi di Taman Cheng Indah di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengabaikan dua beradik, sejak Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24; Hafsah Abd. Razak, 33; Nur Diyana Zainudin, 24 dan Jamia Abd. Rahman, 41, yang merupakan pembantu tadika mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru dan seorang pembantu tadika telah mengabaikan atau mendedahkan dua kanak-kanak berusia empat dan enam tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Perbuatan itu dilakukan pada pertengahan Mac sehingga awal Mei 2024 di sebuah tadika di Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.
Mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, tadika itu mempunyai 20 cawangan termasuk di Selangor dan Kuantan, Pahang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin dan Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan RM20,000 dan RM15,000.
Peguam Mohd. Fadil Mohd. Yusof yang mewakili kesemua tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga guru itu menanggung keluarga dengan pendapatan sekitar RM1,500, manakala Jamia merupakan ibu tunggal dan tidak terlibat dengan urusan penjagaan mangsa.
Mahkamah membenarkan Hafsah dan Diyana diikat jamin RM20,000 setiap seorang manakala Nur Hanis dan Jamia pula RM7,000 setiap seorang.
Kesemua tertuduh turut diperintah tidak mengganggu dan mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – UTUSAN










