PETALING JAYA: Proses siasatan di lokasi pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di sekitar Apartmen Idaman di sini dilakukan dengan kawalan ketat polis.
Seawal pukul 10 pagi, sepasukan polis berpakaian seragam membuat dua sekatan laluan menuju ke Blok R, iaitu kediaman ibu bapa Zayn Rayyan.
Petugas media dikawal dan diarahkan duduk di sebuah pondok wakaf manakala pergerakan penduduk diiringi anggota polis.
Turut kelihatan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan proses lakonan semula.
Difahamkan, polis turut membawa patung dipercayai dijadikan sebagai badan Zayn Rayyan untuk siasatan lakonan semula itu.
Setakat pukul 11 pagi ini ,hanya kelibat ibu kanak-kanak autisme itu yang dibawa ke lokasi manakala kehadiran bapanya ke lokasi belum dapat dipastikan.- UTUSAN










