Komplot remisier, peguam tipu duit pelabur RM100 juta

Komplot remisier, peguam tipu duit pelabur RM100 juta

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komplot remisier dan peguam menyebabkan beberapa pelabur kerugian ratusan juta ringgit selepas tertipu dengan skim pelaburan palsu membabitkan pertukaran mata wang asing atau forex yang berpangkalan di Singapura.

Kegiatan penipuan yang aktif sejak tiga tahun itu dikesan mengaut keuntungan RM65 juta sehingga RM100 juta.

Komplot didalangi oleh seorang remisier dan rakan sekolahnya yang merupakan seorang peguam mendakwa wang yang diterima daripada mangsa-mangsanya menerusi dua syarikat berpangkalan di negara ini
akan dilaburkan di Singapura.

Bagaimanapun selepas menerima wang tersebut, remisier dan peguam itu akan mengeluarkan wang daripada dua syarikat tersebut menggunakan dokumen mahkamah palsu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, hasil siasatan mendapati remisier berkenaan memperdaya mangsa-mangsa dengan meyakinkan wang mereka akan dilaburkan di Singapura.

Kata sumber itu, pelabur yang yakin kemudian memasukkan wang pelaburan mereka ke dalam akaun dua syarikat yang dibuka remisier berusia 52 tahun itu.

“Apabila pelabur meminta wang yang telah mereka laburkan, remisier berkenaan memberi alasan wang mereka telah dibekukan kononnya disiasat oleh pihak berkuasa negara terlibat,” katanya di sini, semalam.

Tidak terhenti di situ, sumber memberitahu, modus operandi mereka juga adalah dengan menggunakan firma guaman sebagai tapak untuk menjalankan aktiviti haram mereka bagi terus menipu wang pelabur.

Sumber berkata, remisier ber­kenaan turut melantik seorang peguam yang juga rakan sekolahnya untuk berkomplot mengeluarkan wang-wang milik pelabur daripada dua syarikat pelaburan miliknya itu.

Kata sumber, peguam ber­kenaan telah menghantar writ saman mengandungi dokumen palsu mahkamah tinggi di sebuah negeri bagi dua syarikat pelaburan berkenaan kononnya perlu membayar fi guaman bernilai puluhan juta ringgit.

“Mahkamah telah memutuskan dua syarikat pelaburan itu perlu membayar fi guaman itu sebelum kedua-dua mereka menggunakan writ saman untuk keluarkan duit syarikat dari bank.

“Bila wang pelaburan itu dimasukkan ke dalam akaun firma guaman berkenaan, kedua-dua mereka menggunakan wang dilaburkan mangsa untuk kepen­tingan sendiri termasuk membuat pelaburan lain di Labuan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai siasatan dilakukan.

Menurutnya, puluhan akaun milik remisier dan peguam ber­kenaan yang bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM.

“Kita mengesan banyak kes penipuan pelaburan menggunakan modus operandi seumpama ini.

“Siasatan akan dilakukan di bawah Akta SPRM 2005 kerana mengemukan butiran palsu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×