Peniaga didenda RM4,500 terima, simpan harta curi - Utusan Malaysia

Peniaga didenda RM4,500 terima, simpan harta curi

FELICIANO Shaif Cubinar Tajul Ariffin (tengah) yang mengaku salah menyimpn harta curi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menerima dan menyimpan harta curi iaitu wang RM13,616 milik seorang wanita, dua tahun lalu.

Tertuduh, Feliciano Shaif Cubinar Tajul Ariffin, 22, turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang menyimpan wang tunai RM13,616 dan mempunyai sebab untuk mempercayai duit berkenaan adalah harta curi.

Feliciano Shaif Cubinar didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar Kedai Payang di sini kira-kira pukul 2.58 petang pada 28 Disember 2022.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mendakwa telah menerima panggilan dari seseorang dan dimaklumkan terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram serta kes dadah.

Mangsa yang diminta membayar denda RM30,000 kononnya untuk menyelesaikan kes tersebut kemudian memindahkan RM13,616 ke dalam sebuah akaun bank atas nama tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata, maklumat perbankan tertuduh telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Anak guam saya ada memberi maklumat banknya selepas ditawarkan pinjaman wang sebelum ini namun tidak pernah menerima wang daripada peminjam tersebut.

“Malah anak guam saya tidak tahu menahu transaksi daripada mangsa dalam kes ini dan berjanji akan lebih berhati-hati dengan maklumat peribadi selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN