Tukar minyak masak terpakai jadi sabun pencuci - Utusan Malaysia

Tukar minyak masak terpakai jadi sabun pencuci

AHLI-ahli KRT Persiaran Mahogani Bandar Sri Damansara melihat kaedah penghasilan produk sabun dan lilin hasil inovasi daripada minyak masak terpakai di KRT Taman Desa Jati, Nilai, Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Demi memperkasakan komuniti setempat menerusi aktiviti ekonomi, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jati, Nilai di sini menghasilkan produk inovasi daripada minyak masak terpakai iaitu sabun pencuci serba guna dan lilin wangi.

Produk dengan jenama Recia itu dihasilkan secara ‘home made’ menerusi Projek Ekonomi Komuniti sejak tahun 2022

Pengerusi KRT Taman Desa Jati, Muhammad Hassan Abd Hamid berkata, kejayaan aktiviti ekonomi itu menjadikan ia sebagai contoh kepada KRT-KRT lain termasuk dari luar Negeri Sembilan.

“Produk ini juga berjaya membuka mata banyak pihak termasuk dalam kalangan agensi dan jabatan. Sejak itu kami sering berkongsi ilmu dan pengalaman yang kami ada bagi memperkasakan ekonomi di sini.

“Alhamdulillah hari ini kami telah menerima kunjungan daripada KRT Persiaran Mahogani Bandar Sri Damansara dalam berkongsi ilmu dan pengalaman berkenaan pemerkasaan ekonomi kepada KRT luar. 

“Perkongsian ilmu sebegini boleh memberi nilai tambah kepoada KRT lain untuk melaksanakan aktiviti ekonomi di tempat masing-masing. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk menjana pendapatan komuniti setempat sama ada besar atau kecil,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada KRT Persiaran Mahogani Bandar Sri Damansara, Selangor semalam.

Sementara itu, Pengerusi KRT Persiaran Mahogani Bandar Sri Damansara, Wan Ismail Wan Puteh berkata, kunjungan pihaknya adalah bagi melihat kaedah kejayaan KRT Taman Desa Jati dalam melaksanakan aktiviti ekonomi tersebut.

“Ada sesetengah KRT menjalankan aktiviti ekonomi membabitkan projek pertanian, penghasilan produk makanan, minuman dan kraftangan.

“Di sini (KRT Taman Desa Jati) mereka telah berjaya menonjolkan aktiviti ekonomi menerusi produk inovasi daripada minyak masak terpakai yang seterusnya dapat mengkomersialkan produk dan menjana pendapatan” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×