Rumah buluh terapung ‘antitaufan’ selamatkan pribumi Filipina

Rumah buluh terapung ‘antitaufan’ selamatkan pribumi Filipina

RUMAH buluh terapung penduduk pribumi Manobo di Agusan Marshlands di selatan Filipina. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Agusan Marshlands di Filipina, perubahan iklim mengganggu kehidupan seharian penduduk tempatan, namun cara hidup dan amalan tradisi banyak membantu masyarakat pribumi Manobo menyesuaikan diri dengan ancaman itu.

Musim banjir yang membawa kemusnahan besar kini berlaku hampir sepanjang tahun tetapi suku Manobo berjaya menguasai kehidupan yang lebih selamat dengan rumah buluh tradisional mereka yang terapung di atas air dan tahan terhadap taufan, ribut serta banjir.

Dibina sejak 60 tahun lalu, rumah buluh itu direka untuk mengalir bersama air dan sangat mudah disesuaikan dengan perubahan persekitaran di tanah paya.

Menurut salah seorang pemimpin masyarakat Manobo, Marites Babanto, kediaman mereka masih mampu kekal utuh ketika berdepan cuaca yang tidak menentu.

“Hari ini puak Manobo terpaksa berhadapan dengan perubahan setiap hari. Paras air boleh berbeza-beza sehingga 10 meter dan keadaan semakin sukar diramalkan kerana musim banjir yang tidak menentu.

“Tanah lembap juga semakin mengecil dari saiz asalnya. Dulu kawasan ini masih luas dengan air yang begitu banyak.

“Apabila saya berkahwin, banyak perubahan yang berlaku kerana perubahan iklim. Paya menjadi kering dan ribut semakin kuat hingga mengubah persekitaran kami,” katanya kepada BBC.

Satu lagi kesan ketara perubahan iklim yang sangat mencabar untuk dikawal, adalah pertumbuhan invasif pokok air dan tumbuhan jenis hyacinth.

“Impaknya sangat teruk kepada masyarakat. Sukar untuk menaiki bot ke sana dan masyarakat sendiri bergelut, terutamanya Orang Asli. Tumbuhan itu juga menjejaskan aktiviti menangkap ikan setiap hari.

“Hyacinths adalah masalah alam sekitar global, menyumbat saluran air dan sungai selain menyebabkan banjir berleluasa namun tumbuhan itu sukar untuk dihapuskan,” kata Penguasa kawasan perlindungan Agusan Marshland, Sherrilyn Vasquez.

Jelas Vasquez, penduduk kampung kadangkala terpaksa berpindah ke bahagian lain tasik kerana ‘pencerobohan’ tumbuhan air itu.

Namun masyarakat Manobo mampu menanganinya dengan mengheret rumah terapung mereka ke lokasi baharu menggunakan tali.

Suku Manobo mengakui sentiasa berusaha mengekalkan cara hidup mereka di atas air walaupun perubahan pesat dalam persekitaran mereka.

Mereka menganggap diri mereka sebagai ‘penjaga paya’, memelihara persekitaran tempatan untuk generasi akan datang walaupun menyedari misi itu semakin mencabar.

“Kami sedang mengalami kebenaran menyakitkan perubahan iklim. Tanah semakin bertukar menjadi air dan air pula mula berubah menjadi daratan,” kata Ketua suku Manobo di Tasik Panlabuhan, Datu Reyes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×