PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan terlibat dengan program permohonan kewarganegaraan dianjurkan sebuah pusat khidmat di Johor yang tular di Facebook, hari ini.
JPN berkata, program itu bukan anjuran bersama pihaknya dan tiada jemputan penyertaan JPN diterima.
Katanya, sebarang permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN dengan kehadiran pemohon itu sendiri.
“JPN sentiasa ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.
“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di Facebook poster program permohonan kewarganegaraan berlangsung di Johor Bahru mulai pukul 1.30 tengah hari hingga 5.30 petang, pada 30 Jun ini.
Susulan kenyataan JPN itu, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang dijadualkan itu ditangguhkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, dilaporkan berkata taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau tiada sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa atau sebab-sebab lain. – UTUSAN











