Saya pernah hadap lebih teruk daripada ini - Yazmin Aziz

Saya pernah hadap lebih teruk daripada ini – Yazmin Aziz

yazmin aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya tidak pernah buka cerita ini di mana-mana. Orang lihat saya ceria, tapi mereka tidak tahu perjalanan saya,” kata Yazmin Aziz

Gadis kacukan Malaysia Filipina ini menarik nafas. Mengambil jeda membongkar rahsia selama ini diam di dada. 

Bukan tidak terkesan dengan makian, fitnah yang diterima di media sosial selama ini. Tapi rupanya, penyanyi dan pempengaruh, Yazmin Aziz sudah bisa tegal biasa.

“Saya ada sejarah masa lalu yang hitam. Pada usia 10 tahun, saya sudah menjadi mangsa buli, dipanggil babi, disuruh tinggalkan Malaysia dan diludah di depan muka. 

“Perasaan seolah-olah saya tidak layak berada di sini sudah saya kir sejak muda. Semua ini saya terima hanya kerana saya mempunyai darah kacukan Filipina dan tidak berbahasa Melayu sefasih orang lain. 

“Sedangkan saya lahir di sini dan mempunyai kad pengenalan ini. Sehingga kini bila dikenang kembali memori itu, saya jadi sedih dan marah. Ia juga membuatkan saya terbiasa membesar dengan hati yang kuat,” katanya. 

Sebelum gadis berumur 23 tahun itu menyambung cerita, saya memaklumkan bahawa dia boleh sahaja mengabaikan soalan saya jika topik yang dibincangkan menjadi terlalu sensitif. 

“Tak mengapa, saya macam buku yang terbuka. 

 “Mungkin orang rasa saya  kelakar dengan karakter ‘bestfriend’ di media sosial. Namun mereka tidak tahu semasa kecil, saya pernah hadapi masalah kewangan apa lagi saya membesar tanpa ayah kandung. 

“Selepas ibu bapa saya bercerai, saya hanya pernah bertemu ayah sekali sahaja. Ketika itu dia sempat hadiahkan tablet. 

“Sejak kecil dia selalu berjanji macam macam perkara namun tidak ditunaikan. Sehingga kini kami tidak lagi berhubung,” ceritanya. 

Penerima anugerah Pencapaian Vokal Cemerlang, Anugerah Perniagaan Usahawan Wanita Kehormat, Shanghai, ini mengakui muzik telah banyak menyelamatkannya melalui zaman muda yang mencabar. 

Berjinak-jinak mempelajari teknik nyanyian dan beberapa alat muzik, Yazmin menulis lagu pertamanya bertajuk Lihatlah menceritakan perang yang ada dalam hatinya pada usia 12 tahun. 

Lagu itu kemudian dirakam semula dan diterbitkan pada usianya baru 16 tahun.

TIDAK SECEPAT ITU GANTI KEKASIH

CINTA tidak pernah teduh dalam kisah ibu bapanya. Sebab itulah Yasmin yang juga anak sulung daripada tiga beradik ini sangat berhati-hati untuk mempercayai lelaki. 

Namun ibu sering mengingatkannya walau apapun yang terjadi, jangan sesekali berharap seorang lelaki akan berubah. Jika sudah dihidu busuk hatinya, jangan lagi memilih setia. 

“Saya tahu ramai yang menuduh saya ganti kekasih seperti ganti baju. Kononnya semudah itu meninggalkan dan mendapat cinta yang baru. Sebenarnya tidak seperti itu. 

“Saya sudah lama putus dan ambil masa agak lama untuk menerima orang baru. Cuma iyalah, saya tidak pernah uar-uarkan di media sosial bila berpisah. 

“Dalam hubungan, saya beri peluang jika si dia buat salah. Namun jika kesilapan itu keterlaluan seperti dia biadab dengan keluarga atau mengongkong karier sebagai penyanyi, saya tidak boleh berkompromi. 

“Bila nampak red flag, kenapa kita masih mahu bertahan?” katanya. 

Pernah dicurangi lelaki yang memintanya menjalani hubungan percintaan tanpa berkongsi di media sosial, Yazmin kini mengambil pendekatan memuat naik wajah kekasih namun masih mengawalnya agar tidak keterlaluan. 

“Dahulu saya kerap berkongsi momen bersama kekasih di media sosial. Tetapi sekarang saya sedia kurangkan kerana gusar ada yang cemburu dan doa yang bukan-bukan. 

“Rasanya hubungan saya sebelum ini tidak bertahan kerana reaksi orang ramai juga memberikan tekanan terhadap perhubungan kami,” tambahnya yang kini menjalin cinta dengan seorang pemain bola keranjang warganegara Kanada.

INI USAHA CARA SAYA

Dengan pengikut melebihi juta di platform TikTok, Yazmin menggunakan kelebihan yang ada untuk memperjuangkan suara kanak-kanak Palestin yang dibedil Zionis. 

Yazmin merakamkan lagu God Send di California Amerika Syarikat hasil kolaborasi dengan pemuzik berdarah Palestin, IshaqIE. 

Lagu yang menceritakan kesengsaraan kanak kanak di Palestin itu turut disempurnakan oleh penerbit asal Amerika, HighLifeFlo. 

“Saya sangat suka kanak-kanak. Bila tengok nasib mereka di Palestin dan video mereka berlegar di media sosial saya, hati saya sakit. Bayang kan kita sedang gem bira, tapi anak anak ini hilang nyawa di sana.

“Selama ini setiap kali saya buat hantaran tentang Palestin mesti tidak boleh siarkan semula atau tiba-tiba tontonan video saya akan jatuh merudum. Saya jadi geram. 

“Jadi, menerusi muzik, potensinya untuk menjadi tular adalah lebih besar berbanding sekiranya kita muat naik video secara ‘hard sell’. Media sosial seolah-olah tapis segala hantaran tentang Palestin.

“Kini, segala muat naik saya akan sertakan simbol bentuk hati berwarna bendera Palestin atau ikon tembikai untuk menyatakan sokongan terhadap pembebasan rakyat di sana,” katanya. 

God Send kini boleh didengari menerusi semua platform penerima atau menerusi saluran YouTube IshaqIE. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×