Mahasiswa Negeri Sembilan UTM beri bakti di negeri sendiri - Utusan Malaysia

Mahasiswa Negeri Sembilan UTM beri bakti di negeri sendiri

PENDUDUK dan mahasiswa UTM bersama-sama mengacau dodol sempena Program Siswa Noghori Turun Padang di Masjid Kariah Kampung Terusan, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sekumpulan mahasiswa kelahiran Negeri Sembilan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merealisasikan hasrat mereka untuk memberikan bakti kepada negeri sendiri menerusi Program Siswa Noghori Turun Padang.

Program anjuran Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Semanis) UTM telah diadakan selama tiga hari bermula Khamis lalu yang turut mendapat kerjasama dari pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Terusan dan Masjid Kariah Kampung Terusan di sini.

Presiden Semanis UTM, Muhammad Hakim Mohd Zain, 23, berkata, program berkenaan melibatkan seramai 33 orang pelajar UTM Kampus Skudai, Johor Bahru termasuk 25 orang mahasiswa dari negeri ini.

“Dalam program ini kami juga buka peluang kepada anak negeri lain untuk turut turun padang ke sini melihat keadaan masyarakat di luar bandar dan berpeluang duduk di rumah keluarga angkat di Kampung Terusan, Juasseh.

“Antara aktiviti yang diadakan sepanjang tiga hari ini adalah pameran buku, perkongsian pelajar serta persembahan bidang pengajian yang terdapat di UTM kepada 500 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad dan Kolej Vokasional Juasseh.

“Turut diadakan program gotong-royong mengecat tembok masjid, merewang, mengacau dodol serta kuliah subuh yang disertai oleh penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Kampung Terusan, di sini, hari ini. 

Muhammad Hakim yang berasal dari Seri Menanti di sini menambah, pihaknya juga telah mengadakan pameran membabitkan fakulti utama iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina dan Ukur serta Fakulti Sains.

“Kami sangat berharap melalui program yang diadakan ini bukan hanya dapat mengeratkan hubungan mahasiswa dan penduduk kampung bahkan dapat menarik minat anak muda untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×