Suami bilionair, Nita Ambani tetap rendah diri

Suami bilionair, Nita Ambani tetap rendah diri

KEDIAMAN mewah setinggi 27 tingkat milik pasangan ini di Mumbai, India, antara hartanah termahal di dunia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NITA AMBANI individu paling berpengaruh dan menginspirasikan ramai wanita di India menerusi organsisasi kebajikan, Nita Ambani Reliance Foundation yang diuruskannya. 

Wanita mencecah usia 61 tahun, November ini, sentiasa bertekad menggunakan kedudukannya yang dilimpahi kekayaan untuk manfaat dan kebaikan semua orang. 

Baik peranan sebagai penyokong tegar pendidikan, dermawan yang baik hati dan seorang ahli perniagaan yang bijak, komitmen dicurahkan tidak pernah berbelah bahagi. 

Latar belakangnya yang sederhana dan dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan membuatkan ibu tiga anak ini sentiasa menanam rasa simpati yang mendalam terhadap golongan kurang bernasib baik. 

Komitmennya terhadap isu-isu sosial, memberi impak besar kepada komuniti seluruh India. 

ISTERI BILIONAIR 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Kolej Ekonomi dan Perniagaan Narsee Monjee ini, dilahirkan dalam keluarga kelas pertengahan Gujarati di Mumbai. 

Wanita ini mempunyai minat mendalam terhadap tarian klasikal sejak kecil dan sentiasa menanam impian untuk meneruskan minatnya. 

Nita meneruskan profesion sebagai guru dan dalam masa sama menjadi tenaga pengajar melatih penari Bharatnatyam untuk mengadakan persembahan pentas. 

Ketika terlibat dalam sebuah persembahan tarian, Nita dikatakan bertemu dengan keluarga Ambani, yang melamarnya untuk berkahwin dengan anak lelaki mereka, Mukesh Ambani. 

Nita tetap merendah diri walaupun sudah bergelar isteri kepada seorang tokoh bilionair. 

Pasangan ini dikurniakan tiga anak iaitu Akash, Isha dan Anant. 

NITA dan suaminya, Mukesh Ambani. – AFP

PENGIKTIRAFAN 

Selepas dipilih ke dalam Lembaga Pengarah East India Hotels, syarikat yang mengendalikan rangkaian hotel Oberoi, Nita membuat penampilan profesional dalam dunia perniagaan. 

Beliau kemudian menjadi ahli lembaga wanita bagi Reliance Industries Ltd. 

Menerusi satu sesi temubual, beliau mengakui sangat menggemari sukan kriket sehingga menjadi pengasas bersama pasukan kriket IPL, Mumbai Indians. 

Mumbai Indians berjaya menjadi pasukan dominan dalam Liga Premier India sehingga bergelar juara pada 2013, 2015, 2017 dan 2019 berkat komitmen wanita ini terhadap kelab tersebut. 

Walaupun terpaksa berhenti mengajar, minatnya terhadap bidang pendidikan tetap teguh. 

Beliau sendiri meminta agar dibangunkan sekolah-sekolah di komuniti luar bandar berdekatan semasa suaminya terlibat dalam projek pembinaan paip di Patalganga. 

Penubuhan lebih banyak sekolah mencerminkan komitmennya terhadap pendidikan kerana beliau bertekad untuk memastikan pendidikan boleh diakses oleh semua lapisan penduduk di India. 

Berkat usaha gigihnya untuk mengetengahkan sukan dan pendidikan yang saksama di India, Nita berjaya meraih sejumlah pengiktirafan yang cukup gemilang. 

Beliau pernah disenaraikan dalam Forbes bagi pemimpin perniagaan wanita paling berjaya serta 50 Tokoh Hebat di India oleh India Today. 

KEKAYAAN LUAR BIASA 

Nita bukan hanya mendiami bangunan setinggi 27 tingkat yang dianggarkan menelan kos AS$1 billion (RM4.6 bilion). 

Bahkan kediaman dinamakan Antilia sempena nama pulau mitos Laut Atlantik di Mumbai, India ini juga dikhabarkan antara hartanah termahal di dunia selepas Istana Buckingham. 

Singgahsana mewah milik pasangan terkaya India, Mukesh Ambani dan Nita Ambani turut dilengkapi dengan beberapa kolam renang, dewan, taman seluas tiga tingkat, tempat letak kenderaan enam tingkat, tiga helipad dan memerlukan seramai 600 pekerja untuk menguruskan kediaman berkenaan. 

Kekayaan luar biasa keluarga Ambani menjadi bualan hangat bukan hanya dalam kalangan masyarakat India bahkan penduduk dunia sejak berita majlis perkahwinan anak perempuan mereka, Isha Ambani kira-kira dua tahun lalu bertebaran di Internet. 

Mana tidaknya, dianggarkan perkahwinan Isha dengan pewaris empayar hartanah dan farmaseutikal ternama India iaitu Anand Piramal berkenaan menelan belanja hampir AS$15 juta (RM70 juta). 

Perkahwinan gilang-gemilang itu bukan hanya dihadiri selebriti terkemuka India seperti Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Nick Jonas dan Aisywarya Rai tetapi juga diserikan dengan kehadiran tokoh politik antarabangsa termasuk Hillary Clinton. 

Tidak cukup dengan itu, satu konsert khas turut diadakan yang menampilkan penyanyi terkenal dunia, Beyonce. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×