SAUDARA PENGARANG,
CERITA warga asing mengambil kesempatan untuk berniaga sudah berlarutan selama berpuluh tahun tetapi sehingga hari ini masih tiada jalan penyelesaian.
Golongan ini berniaga hampir di semua lokasi di Kuala Lumpur. Dalam pusat membeli-belah, pasar borong, kedai mahupun kaki lima, kita boleh melihat warga asing berniaga.
Kadang-kadang mereka menjual ikan dan sayur di kaki lima tepi jalan sekitar Stadium Negara seolah-olah seperti duduk di negara sendiri. Majoriti peniaga warga asing ini dari Bangladesh diikuti Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Filipina.
Mini Dhaka bukan sahaja ada di Jalan Silang tetapi ada juga di bandar di negeri-negeri lain.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini dilihat semakin kerap membuat operasi terhadap warga asing dan operasi terbaru di Petaling Street dengan beberapa gerai yang dijaga peniaga Bangladesh disita. Tetapi adakah tindakan menyita barang sahaja cukup sebagai pengajaran buat mereka?
Hari ini mereka tutup kedai selepas barang jualan mereka dirampas tetapi esok, lusa mereka berniaga tempat lain. Mungkin juga berhijrah ke negeri lain dengan mencari tapak perniagaan baharu. Di sinilah peranan penting Jabatan Imigresen kerana agensi ini mempunyai kuasa untuk menahan golongan ini yang melanggar peraturan negara.
Imigresen perlulah lebih agresif mengesan buruh warga asing yang kini sudah menjadi tauke kerana mereka berniaga secara terang-terangan. Soalnya, bagaimana tauke-tauke warga asing ini boleh berniaga barang runcit dan komputer riba jika menggunakan pas pekerjaan di tapak pembinaan? Tindakan mereka ini sudah jelas salah dan melanggar undang-undang negara.
Golongan warga asing juga bijak, mereka memberi alasan berniaga kerana telah berkahwin dengan wanita tempatan. Sampai bila kita mahu biarkan perkara ini? Jika tidak dibendung, mereka akan terus menggunakan alasan ini untuk berniaga.
Lama-kelamaan, masalah ini akan menjadi semakin kronik dan akhirnya tidak dapat diselesaikan.
Cara terbaik adalah menghantar pulang warga asing yang menyalahgunakan pas kerja untuk berniaga. Langkah ini dapat menyelesaikan masalah secara menyeluruh.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur










