SEREMBAN: Seorang pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, Nilai di sini mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mencipta rekod dengan mengenal pasti sebanyak 86 bendera daripada 197 buah negara dalam tempoh seminit oleh seorang kanak-kanak.
P. Divyana, 13, berkata, dia begitu gembira dengan pengiktirafan yang diperolehnya itu yang secara tidak langsung membuktikan usaha yang dibuat sejak dua tahun lalu telah membuahkan hasil.
“Saya sangat meminati mata pelajaran Geografi, dan untuk mengenali bendera negara menjadi salah satu perkara yang menarik untuk diri saya pelajari. Aplikasi YouTube menjadi bahan rujukan utama saya untuk mengenali berkenaan negara luar.
“Terima kasih juga kepada ibu bapa yang tidak pernah menghalang minat saya dan sangat memberi galakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengisytiharan MBOR bagi rekod berkenaan di SMK Nilai Impian di sini.
Sijil pengiktirafan kepada Divyana itu disampaikan wakil MBOR, Edwin Yeoh.
Divyana memberitahu, dengan pencapaian tersebut dia berharap dapat mencapai hasrat mengembara ke seluruh dunia suatu hari ini.
“Jika diberikan kesempatan, saya mahu mengembara ke seluruh dunia seperti ke negara Ecuador, setakat ini saya pernah ke India, Thailand dan Singapura,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang ahli geologi.
Dalam pada itu, menurut ibunya, S. Thinagari, 44, Divyana mula menunjukkan minat mengenai hal negara luar sejak usianya lima tahun.
“Jika budak lain seusianya tengok menonton kartun di YouTube tetapi Divyana berbeza dan dia lebih suka belajar dan mengenali negara luar.
“Dia belajar pun hanya melalui YouTube menjadikan pengetahuan amnya dia sangat bagus. Sejak itu, saya sebagai ibu sangat memberi galakan untuk dia mencari ilmu tanpa paksaan,” katanya.
Sementara itu, Edwin berkata, untuk Divyana mencipta rekod itu, jumlah bendera negara yang perlu dikenal pastinya mesti melebihi 66 bendera dalam tempoh seminit.-UTUSAN.









