WASHINGTON: Bekas Perdana Menteri Cameroon, Philemon Yang dipilih dengan sebulat suara sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-79 yang akan bermula September ini.
Lapor Anadolu, Yang menyatakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada negara anggota atas sokongan yang diberikan bagi pemilihannya.
Presiden semasa UNGA, Dennis Francis turut mengucapkan tahniah kepada Yang atas pemilihannya.
“Sebagai Perdana Menteri negaranya dan sebagai Pengerusi Panel Orang Afrika Terkemuka Kesatuan Afrika serta pelbagai peranannya termasuk penglibatan di PBB, Yang menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bagi kepada prinsip keamanan, pembangunan mampan, dan maruah manusia,” kata Francis.
Menegaskan UNGA kekal sebagai forum global yang terutama dan perlu untuk menjalin konsensus, merangka penyelesaian dan menjamin masa depan yang lebih cerah, Francis menambah beliau yakin pertubuhan itu akan bangkit menghadapi cabaran semasa penggal Yang.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, Yang bakal mengetuai UNGA pada saat yang amat mencabar.
Seperti pendahulunya Francis, Guterres berkata, presiden yang dipilih akan memainkan peranan penting dalam mencapai dunia yang lebih aman dan mampan.
“Beliau mempunyai banyak pengalaman mewakili negaranya sebagai diplomat, penjawat awam serta Kesatuan Afrika selain di peringkat tertinggi kerajaan termasuk sebagai Perdana Menteri Cameroon,” tambahnya.
Selaras dengan penggiliran serantau yang ditetapkan, presiden sesi ke-79 perlu dipilih daripada Kumpulan Negara Afrika.
Selepas Uganda dan Nigeria, Cameroon menjadi negara Afrika ke-13 dilantik sebagai Presiden UNGA.











