KUALA NERUS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun hanya terlantar sejak hampir dua tahun lalu akibat kerosakan otak yang berpunca daripada bisul di dalam kepalanya.
Derita yang dialami Putri Nur Elyna Soffiya Kairul Azahar, 4, dari Kampung Banggul Air Lilih di sini, bermula pada 2022 setelah benjolan bisul di kepala itu disedari ibu, Engku Noor Wahidah Engku Anuar, 31, dan bapanya, Kairul Azahar Mohamad, 32.
Menurut Engku Noor Wahidah, anak bongsu daripada enam beradik itu bagaimanapun tidak dibawa menerima rawatan ketika itu kerana menyangka penyakit tersebut tidak terlalu serius.
Katanya, kira-kira enam bulan kemudian keadaan Putri Nur Elyna Soffiya semakin buruk sehingga mengalami sawan sebelum doktor mengesahkan terdapat cecair nanah di dalam kepala anaknya itu.
“Susulan itu, doktor melakukan pembedahan membuang nanah dan anak saya kembali normal namun itu hanya seketika apabila dia (Putri Nur Elyna Soffiya) mengalami sawan buat kali kedua.
“Putri Nur Elyna Soffiya kini tidak lagi mampu berjalan dan bergantung kepada susu khas yang perlu disalurkan dengan menggunakan mesin sekali gus memerlukan penjagaan setiap masa.
“Keadaan memaksa saya berhenti daripada berniaga di pasar malam dan bergantung kepada pendapatan suami sekitar RM1,200 melakukan pelbagai pekerjaan,” katanya di rumahnya Kampung Banggul Air Lilih di sini, semalam.
Menurut suri rumah itu, kesempitan hidup menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa mencatu makanan selain memerlukan lebih RM1,500 sebulan sebagai kos penjagaan Putri Nur Elyna Soffiya.
Lebih memeritkan buat pasangan ini, dua lagi anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) autisme dan lambat pembelajaran.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Islam atas nama Engku Noor Wahidah (1306 2020 0687 21) atau menghubungi talian 011-3558 8417 dan 011-5340 1993. – UTUSAN











