PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan semua pegawainya perlu berani berubah dan menerima strategi dan dasar baharu untuk dilaksanakan seiring cabaran serta risiko dihadapi masa kini.
Beliau berkata, budaya kerja secara silo, bekerja dalam komuniti atau bahagian sendiri, perlu diketepikan bagi memberikan perkhidmatan dan tugasan yang terbaik kepada organisasi.
Azam turut mengingatkan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan dan pengurusan waktu bekerja yang berintegriti sebagaimana Surat Arahan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 18 April lalu.
“Adalah menjadi tanggungjawab warga SPRM untuk hadir bertugas mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Menjadi tugas Ketua Jabatan untuk menyelia dan memantau keberadaan dan pelaksanaan tugas oleh pegawai bawahan agar penyampaian perkhidmatan sentiasa berada di tahap yang optimumS
“Selain perlu peka terhadap sebarang ketidakpatuhan etika kerja dengan membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan amalan-amalan negatif tidak berlaku,” katanya dalam ucapan aluan Pengerusi Mesyuarat Pengarah-pengarah Bil.2/2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan SPRM menerusi laman Facebook rasmi mereka hari ini.
Azam turut menegaskan, Pengurusan Tertinggi tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga SPRM yang melanggar salah laku termasuk melakukan perbuatan jenayah.
Turut diadakan semalam iaitu sesi penyerahan Buku Laporan Konvensyen Siasatan dan Resolusi Siasatan Tahun 2024 oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim kepada beliau. – UTUSAN











