PROFIL seni penyanyi seorang ini sudah cukup hebat sebenarnya untuk dia mengadakan konsert berskala besar. Kali terakhir dia mengadakan konsert besar adalah di pentas Istana Budaya menerusi konsert Dayang Dua Dekad.
Tetapi kali ini, Dayang Nurfaizah mengimpikan sesuatu yang lebih gah. Tidak hanya di pentas yang disaksikan mungkin 3,000 hingga 5,000 orang, dia mahu mengajak mungkin 10,000 peminat berdansa bersama di konsertnya.
Itu tidak mustahil, sementelah dia bukan penyanyi yang ‘kecil’. Skala seninya cukup besar untuk melayakkannya mengadakan sebuah konsert di stadium. Tetapi perancanganya juga harus besar dan gah.
“Sememangnya setiap penyanyi mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert. Tanyalah kepada mana-mana penyanyi pun. Tetapi kita bercakap tentang sebuah konsert berskala besar, perancangannya perlu tepat.
“Tawaran itu ada, tipu kalau saya cakap tidak ada. Tetapi itulah, saya mahukan lokasi konsert yang lebih besar. Saya sudah buat konsert di Istana Budaya, Dewan Filharmonik, jadi kali ini mahu yang lebih besar.
“Tetapi saya sendiri takut untuk menggunakan perkataan mega itu. Harapan peminat itu yang membuatkan saya gerun. Insya-Allah, bila tiba masa sesuai memang saya akan mengadakan konsert mega,” ujarnya.
Namun jelas penyanyi lagu fenomena, Seandainya Masih Ada Cinta itu, konsert solo yang dimpikan tidak akan berlaku tahun ini, terutama ketika dia sedang giat menghabiskan poses album baharunya.
Membariskan 13 lagu daripada komposer-komposer hebat tanah air, Dayang bakal menghadiahkan album penuh dengan ketelitian dan lagu-lagu cinta yang bakal mengubat rindu peminat setianya.
“Buat masa sekarang, saya mahu fokus siapkan album baharu ini. Jika tiada aral melintang dan semuanya berjalan lancar, mungkin selepas Julai, album ini akan menemui peminat yang selama ini bertanya bila saya akan ada album baharu.
“Sebenarnya album ini patut dilancarkan sebelum Belagu 2, tetapi itulah, kita hanya mampu merancangkan. Bila tertangguh lama, saya fikir sudah tiba masa untuk betul-betul fokus siapkan album ini.
“Setakat ini sudah 90 peratus siap. Semua lagu baharu daripada komposer-komposer hebat tanah air. Ada Ajai, Aisha Retno, Aubrey Suwito dan semestinya, ada lagu hasil lirik oleh Allahyarham Iman Imran,” ujarnya.
Melayangkan pertanyaan mengapa memilih komposer muda, Aisha Retno sebagai antara komposer pelengkap album baharunya, Dayang dengan senang menjawab;
“Saya sendiri minta lagu daripada Aisha. Sesuatu yang berbeza untuk saya, Tak pernah lagi saya terima lagu sebegitu. Jadi saya mahu cuba. Kalau boleh terima, Alhamdulillah. Kalau tidak, tak apa cuba lagi.
“Saya lebih takut dengan harapan peminat yang menunggu lama kan. Tetapi saya cuba sedayanya untuk memastikan album ini tetap ada jiwa Dayang Nurfaizah yang anda kenali selama ini,” katanya.
SEPENTAS BERSAMA IDOLA
Bakal sepentas dengan idolanya, Datuk Seri Rossa menerusi konsert Divas & Diamonds 2024 pada 7 September ini, ada rasa teruja, gemuruh dan bersyukur dalam hati Dayang.
Mana tidaknya, Dayang terkejut apabila penyanyi popular Indonesia itu sendiri meluahkan hasrat untuk berpadu suara dengannya di konsert yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Baharu itu.
“Apabila Rossa ajak saya berduet, saya terkejut. Idola saya tau. Kami tidak pernah bincang apa-apa pun. Cuma saya difahamkan masing-masing ada slot sendiri.
“Jadi bila dia ajak berduet, saya jadi kecut perut. Dalam fikiran saya, dia kenal ke saya? Saya anggap itu sebagai suatu penghormatan. Saya ucapkan terima kasih kepadanya,” katanya yang bakal mempersembahkan enam lagu di konsert tersebut,
Selain Dayang dan Rossa, konsert anjuran Mega Eve Sdn. Bhd. itu menampilkan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah dan seorang lagi penyanyi yang akan diumumkan.
Lima peratus daripada hasil jualan tiket konsert akan disumbangkan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.










