PUTRAJAYA: Polis mengesahkan bungkusan dipercayai mengandungi bom yang dihantar ke bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini pada petang tadi adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bungkusan itu dihantar menggunakan khidmat penghantaran pukul 11.19 pagi itu dikategorikan sebagai ‘hoax’ atau hampir menyerupai.
“Unit Pemusnah Bom (UPB), baru sahaja selesai membuat siasatan berkaitan satu objek yang boleh dikategorikan sebagai ‘hoax’ atau bom itu.
“Objek itu yang hampir menyerupai (bom sebenar) yang turut dilengkapi batang paip pvc dan ada juga penetap masa.
“Tindakan telah diambil dan kita dapati ia bom palsu atau hampir menyerupai yang dikenali sebagai ‘hoax’,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan MOTAC di sini, tadi.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 3.21 petang tadi mengenai bungkusan berkenaan.
A Asmadi berkata, panggilan kecemasan berhubung bungkusan itu turut dibuat oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Untuk makluman, bungkusan itu dihantar pada pukul 11.19 pagi dan diambil pada pukul 2.45 petang di lobi bangunan sebelum dihantar ke tingkat 14.
“Ketika serahan dibuat, kotak itu mengandungi paip pvc dan wayar yang dipercayai bom pada awalnya sebelum menggunakan khidmat UPB dan anjing pengesan untuk pengesahan,” katanya.
Katanya, bungkusan itu akhirnya disahkan sebagai negatif dan kakitangan kementerian dibenarkan untuk memasuki premis semula.
Jelasnya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 serta beberapa akta lain yang berkaitan. – UTUSAN











