Dua wanita warga emas rugi RM7,770 ditipu tiga individu

Dua wanita warga emas rugi RM7,770 ditipu tiga individu

MUHAMAD Zaki Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Dua wanita warga emas berputih mata selepas mengalami kerugian RM7,700 apabila tertipu semasa membeli emas daripada tiga individu tidak dikenali yang memberikan emas palsu kepada mereka dalam dua kejadian berasingan pada minggu lalu.

Kejadian berlaku pada 29 Mei dan 1 Jun lalu itu melibatkan dua wanita warganegara Thailand masing-masing berusia 60-an ketika berada di kedai makan di Wakaf Bharu, Tumpat dan sebuah rumah di Rantau Panjang.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian pertama berlaku pada 29 Mei lalu di Wakaf Bharu apabila seorang wanita warganegara Thailand berusia 60-an didatangi dua lelaki yang tidak dikenali semasa berada di kedai makan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kedua-dua suspek menawarkan dua utas rantai leher emas berharga RM4,000 untuk dijual pada harga murah.

“Mangsa mengambil rantai emas tersebut dan meminta anaknya membuat semakan ketulenan di sebuah kedai emas sebanyak dua kali. Emas itu pada awalnya tulen selepas semakan dilakukan.

“Bagaimanapun, lelaki itu dipercayai menukar emas tersebut kepada emas palsu semasa urusan jual beli dilakukan di kedai makan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2024, Gejala Sosial dan Keruntuhan Akhlak : Ke Mana Arah Anda? di Politeknik Jeli di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, kejadian kedua berlaku apabila seorang lelaki memperdaya seorang lagi wanita warganegara Thailand berusia 60-an di rumahnya di Rantau Panjang.

Katanya, suspek menawarkan dua utas rantai leher emas untuk dijual kepada mangsa pada harga RM3,500 dan sebentuk cincin emas berharga RM200.

“Mangsa bersetuju membelinya selepas membuat pengesahan emas tersebut tulen. Suspek bagaimanapun bertindak menukar emas palsu ketika urusan jual beli dijalankan.

“Mangsa kemudiannya curiga apabila lelaki tersebut menawarkan sekali lagi gelang emas murah. Wanita terus memaklumkan bahawa dia mahu membuat pengesahan ketulenan di kedai emas, namun suspek terus beredar,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, mangsa terus membuat pengesahan ketulenan barangan kemas yang dibelinya sebelum mendapati ia palsu.

Ujarnya,  polis bagaimanapun berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 37 tahun pada 1 Jun lalu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula Ahad lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Ketika ini, kita sedang mengesan seorang lagi lelaki dikenali Jefri berusia dalam lingkungan 30-an yang disyaki terlibat dalam kes itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×