Peniaga baharu, PMKS masih ingkar caruman Perkeso di Lembah Klang - Utusan Malaysia

Peniaga baharu, PMKS masih ingkar caruman Perkeso di Lembah Klang

Carum Perkeso
ISMAIL Abi Hashim (duduk/kiri) bersama penerima SKSSR pada program itu di Pejabat Penyelaras Parlimen Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Peniaga baharu dan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Lembah Klang antara golongan tertinggi dikesan masih ingkar mendaftar caruman pekerja.

Perkara itu dikesan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menerusi pemeriksaan ke atas hampir 1,000 majikan sepanjang Bulan Pemutihan sejak 15 Mei lalu.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, tiada masa dan tidak mengetahui kewajipan membuat caruman itu antara alasan lapuk yang diberikan majikan.

“Justeru, saya mengingatkan bahawa semua jenis perniagaan termasuk IKS dan baharu beroperasi wajib mencarum biarpun hanya mempunyai seorang pekerja.

“Kita tidak lagi akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka selepas berakhirnya tempoh lanjutan pemutihan pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan tajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Pejabat Penyelaras Parlimen Sungai Besar, hari ini.

Utusan Malaysia pada 30 Mei lalu melaporkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan sempena Bulan Pemutihan dilanjutkan selama sebulan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan lanjutan tempoh itu susulan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

Bagi pendaftaran pekerja baharu warga tempatan dan asing, ia meningkat 34.1 peratus yang meliputi seramai 126,041 orang.

Jelas Ismail, semua majikan perlu menggunakan tempoh berbaki kurang empat minggu ini untuk mendaftarkan pekerja masing-masing.

“Walaupun peniaga pasar malam, mereka perlu membuat caruman sekiranya hanya mempunyai seorang pekerja.

“Kewajipan itu turut meliputi peniaga baharu sama ada berstatus syarikat atau premis kecil terutama di kawasan tumpuan di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Katanya lagi, operasi secara besar-besaran akan dilaksanakan pihaknya bagi mengesan majikan yang mengingkari Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×