LUMUT: Kapal tempur pesisir (LCS) pertama negara yang menimbulkan kontroversi sebelum ini berikutan gagal disiapkan mengikut jadual walaupun kerajaan telah menyalurkan peruntukan berbilion ringgit, dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, kapal pertama daripada lima kapal itu sudah melalui proses peluncuran ke air buat pertama kalinya pada 23 Mei lalu.
“Kerajaan gembira kerana ia menepati ‘milestones’ (peristiwa penting) mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan,” katanya ketika lawatan ke kapal bernama Maharaja Lela itu di limbungan Lumut Naval Shipyards Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut semalam.
KEUTUHAN
Beliau berkata, peluncuran itu bertujuan menguji kestabilan serta keutuhan kapal sebelum kerja-kerja memasang peralatan dan perkakasan dalam kapal dilaksanakan dan dijangka mengambil masa sehingga tahun depan.
Jelasnya, pemasangan itu meliputi ujian pemasangan enjin kapal, sistem persenjataan dan komunikasi termasuk 13 peralatan besar yang perlu ditempah daripada beberapa syarikat di luar negara.
Bagi pemasangan sistem persenjataan, beliau berkata, ia mengambil sedikit masa kerana memerlukan kelulusan daripada kerajaan Perancis.
“Kapal itu kemudian akan melalui proses ujian di pelabuhan mulai Disember tahun depan, seterusnya ujian di laut sebelum dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata, kapal kedua pula sudah melebihi 60 peratus manakala yang ketiga sudah melebihi 50 peratus.
Oktober tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 memaklumkan, kelima-lima kapal LCS akan siap pada 2029.
Bagi tujuan itu, kos tambahan RM2.098 bilion disuntik kepada kos asal RM9.128 bilion.
LUPUS
Mengenai dua helikopter TLDM yang terhempas pada 23 April lalu dan mengorbankan 10 pegawai dan anggota pasukan itu, Mohamed Khaled berkata, badan kedua-dua helikopter itu akan dilupuskan.
Beliau berkata, waris mangsa kini diuruskan dengan baik oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan dan TLDM.
Minggu lalu, laporan akhir lembaga penyiasat kejadian itu merumuskan, pesawat Fennec yang tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan serta memasuki laluan pesawat AW 139 sebagai salah satu punca kejadian. – UTUSAN










