Dua helikopter TLDM terhempas akan dilupuskan - Utusan Malaysia

Dua helikopter TLDM terhempas akan dilupuskan

MOHAMED Khalid Nordin (tengah) menyampaikan sumbangan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada Dr. S. Harshini, balu kepada Leftenan T. Sivasuthan, yang terkorban dalam nahas dua helikopter, 23 April lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Badan dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini pada 23 April lalu yang mengorbankan 10 nyawa akan melalui proses pelupusan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin mengesahkan perkara itu selepas siasatan mengenai kejadian itu telah selesai dijalankan manakala laporan akhir hasil siasatan didedahkan kepada umum minggu lalu.

“Kita akan melihat dan belajar daripada pengalaman itu (supaya tidak berulang pada masa depan).

“Kemalangan adalah sesuatu yang tidak dijangka, dan (kita) akan pastikan apa yang (boleh) dipelajari daripada insiden ini, ia akan memberi panduan dan pengajaran,” katanya pada sidang akhbar di limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Mengenai kebajikan waris dan keluarga mangsa, Mohamed Khalid menjelaskan mereka diuruskan dengan baik oleh kerajaan khususnya kementerian beliau serta TLDM.

“Apabila melibatkan korban jiwa, tidak mudah dan akan mengambil masa (untuk pulih daripada kesedihan), tetapi kita percaya dengan sokongan ahli keluarga, rakan setugas, jiran, dan negara juga bersama-sama memberi perhatian dan sekurang-kurangnya mengurangkan kesedihan tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM38 juta bagi membaik pulih empat blok kediaman keluarga di Pangkalan TLDM Lumut, bagi memberi keselesaan kepada anggota dan keluarga mereka, dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Pada 23 April lalu, dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM ter­ma­suk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di Lumut dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, terkorban. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×