Pecah amanah RM6.6b, tangguh 19 Jun

Pecah amanah RM6.6b, tangguh 19 Jun

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diiringi pegawai penjara pada perbicaraan kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bi­lion yang digunakan sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan selama dua minggu.

Turut didakwa atas tuduhan sama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menangguhkan perbicaraan tersebut bagi memberi peluang kepada pembelaan untuk meneliti dokumen dan menyediakan pembelaan mereka.

“Tempoh dua minggu adalah memadai untuk pihak-pihak meneliti dokumen-dokumen tersebut. Perbicaraan akan dimulakan pada 19 Jun ini dan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

“Saya sarankan pihak-pihak untuk ambil bahagian dalam pre-trial conference (pengurusan kes sebelum perbicaraan) untuk bersetuju dengan dokumen-dokumen yang akan digunakan oleh pendakwaan dan menjimatkan masa mahkamah,” ujar hakim itu.

Terdahulu, peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan memaklumkan mahkamah bahawa terdapat ratusan dokumen yang dirujuk oleh saksi-saksi pendakwaan tidak diserahkan kepada pembelaan.

“Kami telah diserahkan sebanyak 48 pernyataan saksi oleh pendakwaan. Selepas meneliti 22 penyataan saksi, kami dapati terdapat lebih 100 dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan. Kami tidak menyalahkan pasukan pendakwaan sekarang kerana mereka pun baru ambil alih tetapi kami telah meminta dokumen-dokumen ini sejak 2020 lagi dan tiada maklum balas diterima.

“Dokumen-dokumen ini penting untuk kami menyusun pembelaan. Antara dokumen-dokumen tersebut ialah memo daripada Kementerian Kewangan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), memo mesyuarat kabinet dan beberapa surat yang dirujuk oleh saksi,” kata Kumaraendran.

Selain itu, peguam terbabit turut menyatakan, permohonan mereka untuk mendapatkan rakaman percakapan Mohd. Irwan yang telah dipinda juga masih belum diserahkan walaupun telah dimohon beberapa kali.

Pada prosiding sama, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib turut membangkitkan isu yang sama.

“Pagi ini kami telah diserahkan tujuh ikatan dokumen dan 48 pernyataan saksi diserahkan dua minggu lalu. Kami juga menghadapi masalah sama iaitu terdapat beberapa dokumen yang hilang. Kebanyakan keterangan yang diserahkan berbeza dengan kes-kes yang saya kendalikan sebelum ini,”kata Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu mahkamah, pihaknya tidak membantah terhadap permohonan penangguhan tersebut kerana mereka juga memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen.

Tambahnya, pihak pendakwaan telah menyerahkan ratusan dokumen dalam empat peringkat sejak 2018 hingga 2021.

“Kami perlu merujuk kepada pegawai penyiasat sama ada dokumen ini pernah dirampas atau ada dalam simpanan mereka,”ujarnya.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu sebagai Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd. Irwan didakwa bersama-sama atas kapasiti serupa dan diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah atas sejumlah RM220 juta yang merupakan peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion iaitu peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×