KUANTAN: Polis Pahang sedang mengesan individu dikenali sebagai Deni, dipercayai suspek kes pembunuhan membabitkan seorang warga Indonesia di Tringkap, Cameron Highlands hujung bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang merupakan warga Indonesia berusia lingkungan 30an.
Katanya, suspek dipercayai masih bersembunyi dan berlegar di kawasan sekitar Cameron Highlands, dekat sini.
“Untuk perkembangan kes bunuh di Cameron Highlands, kita masih dalam siasatan dan sudah mengenal pasti suspek.
“Kita akan meneruskan siasatan dan mengesan suspek selain kita mengeluarkan ‘wanted person’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bagi Bulan Jun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pekebun kontrak warga Indonesia berumur 50 tahun maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan melibatkan tiga individu di tepi jalan di Tringkap Cameron Highlands, pada pukul 11 malam 30 Mei lalu.
Yahaya berkata, polis turut meminta rakan suspek atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis.
“Kita sudah kesan majikan suspek dan telah memiliki pasport suspek yang juga berasal dari Indonesia.
“Kita percaya suspek dan mangsa juga saling mengenali antara satu sama lain,” katanya memberitahu suspek dipercayai melakukan pembunuhan terbabit menggunakan senjata tajam.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahaya memberitahu, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pahang menunjukkan penurunan kadar kemalangan maut di negeri ini sebanyak 19 kes, iaitu 175 kes pada tahun ini berbanding 194 kes pada tahun lalu.
Katanya lagi, sebanyak 101,430 saman dikeluarkan oleh JSPT Pahang atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan kompaun berjumlah RM 2.2 juta. – UTUSAN










