Penduduk bimbang anjing liar bertambah - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang anjing liar bertambah

KUMPULAN anjing liar berkeliaran di kawasan taman permainan telah menimbulkan rasa bimbang penduduk di Taman Desiran, Bandar Enstek, Nilai, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kehadiran sekumpulan anjing liar yang kian kerap berkeliaran di kawasan perumahan mereka mendatangkan rasah resah dan bimbang bagi penduduk di Taman Desiran, Bandar Enstek, Nilai di sini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desiran Timur@Enstek, Md Nizam Razali berkata, pada awalnya masalah itu hanya melibatkan kehadiran dua ekor anjing sahaja namun jumlah haiwan itu semakin bertambah sehingga belasan ekor.

“Pagi ini sahaja, kelihatan kira-kira 15 ekor anjing liar berkeliaran di taman permainan kawasan perumahan ini. Perkara ini bukan masalah baharu, mana datang kumpulan anjing liar ini pun, kami tidak tahu.

“Jika sebelum ini bilangannya sekitar seekor ataupun dua ekor tetapi kali ini pertambahan bilangan anjing liar yang sangat ketara. Habis tong-tong sampah dihadapan rumah penduduk dipunggah kumpulan anjing liar ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya lagi, keresahan penduduk memuncak susulan beberapa kejadian kanak-kanak di kawasan perumahan itu dikejar anjing liar.

“Walaupun belum ada kes digigit anjing dilaporkan setakat ini tetapi ia masih membimbangkan. Bukan sahaja keselamatan penduduk terancam malah salakan anjing-anjing tersebut juga mengganggu suasana malam penduduk di taman ini.

“Janganlah sampai menunggu ada kes digigit anjing baru nak ambil tindakan,”katanya.

Md Nizam berkata, aduan masalah berkenaan telahpun disampaikan kepada Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Berikutan itu, katanya, penduduk taman berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera dengan sebaik mungkin demi keselamatan semua penduduk.

“Pemantauan berkala juga perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal pembiakan anjing liar ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×