BAGAN DATUK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dibekalkan dengan peralatan dan aset canggih agar usaha-usaha membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, salah satu aset canggih yang boleh dimiliki oleh PDRM ialah alat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah seperti yang digunakan secara meluas oleh pihak keselamatan di China.
“Sebenarnya, ujian tersebut telah dibuat di salah sebuah daerah di Johor namun ia belum dilanjutkan di semua IPD di negara ini, mungkin atas kekangan kewangan.
“Saya harap modern policing ini kita tidak boleh lari. Mesti dilakukan sebab polis sangat memerlukan peralatan dan aset-aset canggih untuk melakukan pembanterasan jenayah,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di sini hari ini.
Beliau berpendapat sedemikian selepas melakukan lawatan rasmi ke China baru-baru ini yang turut melibatkan pertemuan dengan pihak Menteri Keselamatan Awam China.
Menurutnya, kunjungan itu memberi impak positif terutama melibatkan perbincangan dua hala antaranya soal-soal keselamatan berhubung penggunaan peralatan dan aset canggih seperti alat CCTV pengecaman wajah.
Ahmad Zahid berkata, kecekapan anggota polis semakin bertambah namun tidak boleh bergantung anggota-anggota polis secara fizikal semata-mata.
“Jenayah telah berkembang dengan menggunakan peralatan yang canggih. PDRM harus dibekalkan dengan peralatan-peralatan yang lebih canggih. Teknologi telah berubah dengan begitu cepat jenayah telah menggunakan teknologi.
“Dalam hal ini, polis perlu berada dalam upper hand mesti berada di atas kemampuan penjenayah melibatkan jenayah terancang, rentas sempadan dan jenayah yang melibatkan soal cyber security, ” katanya. – UTUSAN










