PASIR PUTEH: Pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang memperoleh keputusan 8A, 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Raja Amirul Mukmin Raja Safari,18, teruja apabila menerima salam dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ucapan pemimpin nombor satu negara itu disampaikan oleh Zainuddin Ghazali yang merupakan wakil kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi semasa program Ziarah Madani di rumah pelajar berkenaan.
Raja Amirul berkata, dia tidak menyangka kejayaannya memperoleh 8A dalam SPM 2023 mendapat perhatian pemimpin negara selepas berita kejayaan itu disiarkan menerusi akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan cemerlang itu merupakan pemangkin buatnya untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun impian itu terpaksa dibatalkan kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan.
“Ayah hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta pada siang hari dan pengawal keselamatan sebelah malam.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur apabila berpeluang memohon pengajian peringkat asasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak dalam jurusan kejuruteraan kimia selepas mendapat tawaran pembiayaan pengajian di universiti itu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program Ziarah Madani di rumah keluarganya di Kampung Gong Manak di sini, hari ini.
Dalam program itu, Zainuddin menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada Raja Amirul dengan diiringi Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Saipul Bahari Ab. Manaf dan Pengetua Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang, Mohammad Daud.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kemiskinan keluarga sehingga pernah terpaksa tinggal di dalam reban ayam dibaik pulih tidak meniadi penghalang buat Raja Amirul untuk meraih 8A, 1B dalam peperiksaan SPM 2023.
Raja Amirul berkata, kesusahan itu menjadi motivasi buatnya untuk belajar bersungguh-sungguh dalam mengubah nasib keluarga. – UTUSAN










