TANAH MERAH: Kerajaan akan membantu 115 keluarga pekerja estet Ladang Kerilla di sini yang memperjuangkan hak untuk mendapat tanah yang terletak berdekatan dengan estet tersebut.
Timbalan Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional, K. Saraswathy berkata, beliau dimaklumkan bahawa pekerja estet yang tamat tempoh kontrak kerja 60 tahun ketika ini perlu keluar dari penempatan ladang itu.
Menurut beliau, perkara itu menyebabkan semua keluarga yang terlibat perlu mencari penempatan baharu untuk meneruskan kehidupan.
“Jadi, penduduk yang pernah bekerja di estet ini memohon tanah untuk mereka membina rumah di sini.
“Individu yang memohon tanah membabitkan generasi pertama yang memerah keringat ketika membuka ladang di sini. Ada juga pemohon daripada generasi kedua hingga keempat,” katanya ditemui merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Kuil Dan Perayaan Aandu Thiruvizha Ke-108 Tahun Dan Program Perpaduan Semarak Perpaduan di Ladang Kerilla di sini hari ini.
Saraswathy berkata, perkara tersebut ketika ini sudah berada dalam perhatian pihak Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional.
Menurutnya, pihak ladang menyediakan tanah di Kampung Gobek di sini iaitu kira-kira 12 kilometer dari Ladang Kerilla, namun bekas pekerja estet itu tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Ramai yang tidak bersetuju kerana lokasi itu jauh dari kuil. Mereka mahu penempatan di sekitar estet ini kerana berdekatan dengan kuil,” ujarnya. – UTUSAN











