Dasar Perumahan Negeri Sembilan ditambah baik - Utusan Malaysia

Dasar Perumahan Negeri Sembilan ditambah baik

DASAR Perumahan Negeri Melaka menetapkan 50 peratus daripada setiap pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar perlu menyediakan RMM. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa penambahbaikan dalam Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) telah dibuat mengambil kira situasi semasa dalam sektor pembinaan termasuk berkaitan peningkatan kos.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, antara perkara yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dalam penambahbaikan DPNS adalah dengan menaikkan harga rumah mampu milik Jenis A daripada RM80,000 kepada RM110,000.

“Peningkatan kos bahan dan harga tanah menyebabkan kos pembinaan sesebuah unit rumah juga telah meningkat. Sepanjang 10 tahun lepas peningkatan kos untuk membina sebuah rumah telah meningkat dengan lebih ketara. 

“Keadaan ini telah menyebabkan pembinaan rumah-rumah mampu milik atau pembukaan kawasan baharu perumahan di Negeri Sembilan telah menunjukkan trend penurunan. Bagi mengimbangi keadaan tersebut kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan harga rumah Jenis A daripada RM80,000 kepada RM110,000 bermula bulan Februari lalu.

“Ini akan memastikan lebih banyak projek perumahan rumah mampu milik dapat dilaksanakan di negeri ini dan akan memberikan peluang kepada ramai keluarga untuk memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik dan bukan setakat mampu tengok sahaja,” katanya hari ini.

Beliau menjelaskan lagi, menerusi penambahbaikan DPNS yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 itu, perkara yang turut diberikan perhatian termasuklah beberapa perkara asas yang perlu ada dalam sebuah rumah yang boleh diduduki seperti keluasan tanah, bilangan tandas, tempat letak kereta, jenis bumbung dan kemasan lantai.

“Perkara-perkara yang disyaratkan ini membolehkan setiap pemaju perumahan akan membina rumah mengikut spesifikasi yang ditetapkan walaupun ia adalah rumah Jenis A atau berharga rendah,” menurutnya.

Arul Kumar berkata, setelah hampir 10 tahun berlalu beberapa penambahbaikan perlu dilakukan ke atas DPNS agar ia kekal relevan dan menjamin peningkatan dalam pembinaan rumah-rumah mampu milik di Negeri Sembilan.

“Penambahbaikan ini diambil selepas mendapatkan maklumat dan respons daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pemaju dan pembeli. Penambahbaikan ini adalah sesuatu yang berterusan dan bukan hanya sekali sahaja,” jelas beliau yang turut memberitahu DPNS perlu dipatuhi oleh semua pemaju perumahan termasuk pemaju swasta.

Pada November tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri untuk mempercepat proses tambah baik dasar perumahan di negeri ini yang disifatkan usang dan tiada perubahan berban­ding situasi semasa dalam industri masa kini.

Pengerusinya, Desmond Yap Poh Seng pada ketika itu berkata, tiada tambah baik terhadap DPNS dilakukan sejak ia berkuat kuasa pada 2015 meskipun pemaju dari tahun ke tahun perlu menanggung peningkatan pelbagai kos.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×