Indonesia uji teksi terbang pertama di Nusantara

Indonesia uji teksi terbang pertama di Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia akan menguji teksi terbang pertamanya di ibu negara baharu Nusantara Julai ini menjelang pameran yang dijangkakan pada sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.

Ketua Lembaga Ibu Kota Nusantara, Bambang Susantono berkata, alat ganti kenderaan itu tiba di Balikpapan di Kalimantan Timur sementara baterinya sudah berada di Jakarta dan akan dihantar ke Samarinda.

Sesi percubaan kenderaan yang boleh membawa lima orang itu akan dijalankan di lapangan terbang Samarinda selama sebulan selepas bahagian-bahagian itu diperiksa dan dipasang. 

Teksi terbang itu adalah kerjasama antara Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI) dan Syarikat Hyundai Motors. 

Pihak Berkuasa Bandar Raya Nusantara dan Hyundai menandatangani memorandum persefahaman untuk membangunkan ekosistem mobiliti udara termaju di Indonesia pada 2022.

Media tempatan melaporkan, penggunaan teksi terbang bakal menjadi kenyataan selepas Indonesia menyertai barisan negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Slovakia, dan Jepun, yang sudah memulakan ujian kenderaan itu.

Nusantara menjangkakan kenderaan itu akan terbang di atas bandar tersebut menjelang 2045.

Selepas percubaan tersebut, Hyundai dijangka membangunkan model perniagaan untuk teksi terbang melalui anak syarikatnya di Amerika Syarikat (AS), Supernal yang khusus dalam mobiliti udara termasuk membangunkan teknologi penerbangan autonomi untuk kenderaan itu.

Pihak Berkuasa Nusantara turut mengeluarkan dasar untuk mengiktiraf kebijaksanaan dan pengetahuan orang asli serta melibatkan mereka dalam menguruskan hutan di ibu kota itu.

Lapor agensi media Antara, skim hutan komuniti juga bakal menjadi lokasi kumpulan masyarakat mengurus atau menggunakan kawasan hutan untuk meningkatkan kebajikan dan kelestarian alam sekitar di bandar berkenaan.

Selain itu, kerajaan Indonesia menyasarkan Nusantara sebagai bandar neutral karbon pertama di Indonesia.

Dasar perancangan spatial akan bertujuan untuk melindungi 65 peratus daripada tanah di kawasan itu, manakala 25 peratus diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur dan baki 10 peratus untuk pertanian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×