PETALING JAYA: Seorang pemegang saham sebuah syarikat perlombongan bijih timah terkemuka di Selangor menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan terhadap pengerusi eksekutif syarikat itu yang didakwa menyeleweng wang kira-kira RM2.8 juta.
Mohd. Zain Ghazali, 69, berkata, beliau kecewa dengan perkembangan terbaharu kes tersebut apabila individu yang disiasat sepatutnya dituduh di mahkamah pada 28 Mei lalu.
“Pada 27 Mei lalu, saya dipanggil dan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bahawa kes itu telah mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah pada hari berikutnya iaitu Selasa.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila pada hari sama, saya menerima panggilan daripada pegawai penyiasat tersebut yang menyatakan dia diarah menyerahkan kembali kertas siasatan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Mohd. Zain, sebanyak tiga laporan polis dibuat berhubung penyelewengan tersebut iaitu pada 2 April 2022 diikuti laporan kedua, 26 Disember tahun sama dan laporan ketiga pada 16 Mei lalu.
Dakwanya, laporan dibuat berdasarkan juruaudit syarikat yang menemukan transaksi kewangan tidak sah membabitkan jumlah RM2.8 juta oleh pengerusi eksekutif tersebut.
“Saya berasa sangat kecewa dan pelik bagaimana satu kes yang disiasat lebih dua tahun dan mendapat arahan tuduh di mahkamah tiba-tiba ditarik balik begitu sahaja.
“Maka saya minta Peguam Negara menegakkan keadilan kepada saya dan semua pihak berkepentingan dalam syarikat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan kes itu kini berada di pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan polis menunggu arahan selanjutnya. – UTUSAN










