Rona perabot bangkitkan warna kediaman

Rona perabot bangkitkan warna kediaman

RUANG tamu ini menggabungkan rona emas dan hitam pada sebahagian perabot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANTIKNYA suatu kediaman itu bukan semata-mata terletak pada aksesorinya.

Ada juga rumah yang dihias dengan perabot dan dekorasi minimal, namun tetap terpancar keindahan dan keseriannya. Begitu juga sebaliknya.

Seperti kediaman milik Faridah Fasya Mahmad ini yang tampil ringkas namun penuh dengan gaya serta elegan.

Jika diamati, hiasannya minimal.

Pemilihan perabot juga ringkas, namun keseluruhan dekorasinya membangkitkan ruang hingga kelihatan lebih menarik dan eksklusif.

Rahsianya, terletak pada permainan rona yang diterapkan di dalam kediaman jenis banglo setingkat berkeluasan 2618 kaki persegi ini.

Perancangan teliti Faridah ‘mengadun’ warna perabot, aksesori dan dinding menjadi faktor utama keindahan hiasan dalaman rumahnya yang berkonsepkan Rumah Ladang Klasik Moden ini.

Kata Faridah, konsep itu menjadi pilihan berikutan ia memiliki ciri unik dan klasik selain tata rias malar segar dan tidak ditelan zaman.

“Bagi merealisasikan konsep ini, saya menitikberatkan pemilihan warna perabot sebagai asas sebelum membuat pemilihan warna untuk barangan lain.

“Pemilihan perabot memainkan peranan dalam konsep dipilih yang mana saya menonjolkan rona lembut dan natural,” katanya yang banyak membuat rujukan dekorasi di media sosial dan Pinterest.

RUANG makan terdiri daripada paduan rona hitam dan krim

PELBAGAI RONA

Menjengah ke setiap ruang yang ada, masing-masing dilatari dengan pelbagai rona yang berbeza.

Misalnya, di bahagian ruang tamu lebih memberi penekanan kepada kombinasi warna emasdan hitam.

Pemilihan sofa daripada rona emas digabungkan dengan sedikit perabot berwarna gelap pada almari di bahagian tepi dinding\ dan juga kipas angin.

Di bahagian ruang makan pula masih mengekalkan warna hitam tetapi digabungkan dengan rona krim untuk suasana yang lebih nyaman dan santai untuk keluarga bersantap.

Namun, rona putih menjadi rona tunggal untuk menghiasi bahagian dapur.

Rekaan kabinet dapur menonjolkan warna putih secara keseluruhan.

Kelihatan sedikit sentuhan elemen kayu pada bahagian kitchen island untuk memberi sedikit kontra pada ruangan tersebut.

Secara keseluruhannya, kediaman yang satu ini sememangnya luas dengan keluasan lebih 2,000 kaki persegi, namun permainan warna dan susun aturnya turut membantu ruang kelihatan benar-benar luas dan lapang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×