PETALING JAYA: Minat syarikat teknologi gergasi seperti Google untuk bertapak di Malaysia adalah berita baik kepada ekonomi negara dan juga perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, perkembangan tersebut menunjukkan agenda yang dilakukan kerajaan berjaya menarik minat syarikat antarabangsa untuk menubuhkan pusat data mereka di negara kita.
“Secara tidak langsungnya PKS akan dapat manfaat daripada perhatian yang lebih mendalam dari pemain sektor teknologi terhadap pasaran Malaysia.
“Perkembangan ini perlu diikuti dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi untuk pelaburan pintar dalam sektor teknologi, penyumberan luar, pembangunan kandungan dan ibu pejabat wilayah,” katanya.
Semalam, Google mengumumkan pelaburan sebanyak AS$2 biliion (RM9.4 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan awan serantau dan seluruh dunia.
Pusat data yang merupakan pelaburan terancang terbesar Google sejak 13 tahun bertapak di negara ini akan dibangunkan di Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd. di Lembah Klang.
Google merupakan gergasi teknologi global ketiga mengumumkan pelaburan di Malaysia selepas AWS pada tahun lalu dan Microsoft awal bulan ini.
Sementara itu, William berkata, kerajaan perlu memastikan sebarang insentif yang diberikan kepada pelabur asing bagi menarik mereka ke sini tidak memberi kesan kepada syarikat sedia ada.
“Ini termasuk insentif potongan cukai ataupun subsidi kos elektrik sekiranya ada, tidak akan menyebabkan kenaikan tarif kepada pengguna komersial lain terutamanya PKS.
“Kita juga perlu memastikan komitmen syarikat-syarikat tersebut untuk melatih rakyat Malaysia dalam sektor teknologi termasuk sebagai jurutera rangkaian dapat dilaksanakan sepenuhnya,” jelasnya.-UTUSAN










