PADA usia 80 tahun, guru bahasa Cina, Yeyu Ying melayari kisah hidup seperti seorang legenda. Wanita cekal itu diiktiraf secara rasmi oleh Rekod Dunia Guinness dalam kategori kerjaya paling lama sebagai guru bahasa wanita selepas menghabiskan 64 tahun dan 33 hari menjadi tenaga pendidik.
Ying memulakan kerjayanya pada usia muda 17 tahun di sebuah sekolah rendah luar bandar di Zhejiang, China.
Dilahirkan dalam keluarga miskin di Ruian di wilayah Zhejiang, dia memilih menjadi seorang guru demi membantu menyara keluarganya dan memulakan perjalanan luar biasa dalam bidang pendidikan.
Selepas bersara pada Februari 1999 ketika usia 55 tahun, wanita itu mengasaskan Sekolah Rendah Yuying, di mana dia terus mengajar sehingga ke hari ini.
Sebagai Pengetua, Ying akan bangun seawal pukul 5 pagi dan berada di sekolah pada pukul 7:30 pagi untuk memantau guru dan pelajar sebelum memulakan tugas mengajarnya.
Apabila guru tiada untuk mesyuarat atau latihan, dia akan turun padang membantu mengajar murid bagi menjimatkan perbelanjaan sekolah.
Ying juga masih mengajar enam kelas bahasa Cina setiap minggu dan dedikasinya dilihat melalui semangat pembelajaran sepanjang hayat yang dipraktikkan serta kegigihan mengemas kini kaedah dan sumber pengajarannya, walaupun ketika usianya semakin meningkat.
Mengingat pencapaiannya, Ying tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
“Pengiktirafan ini adalah bukti semangat hidup saya. Berasal dari kampung luar bandar di selatan China, menubuhkan sekolah di Lishui pada 1990-an dan menerima penghormatan atas usaha yang dilihat seperti kerjaya biasa membuatkan saya bersyukur.
“Setiap kali masa lapang, saya akan menyediakan medium pengajaran. Tidak seperti hari ini, dulu kami tidak mempunyai peranti elektronik yang selesa. Setiap pelajaran ditulis dengan teliti menggunakan berus kaligra yang mengambil masa enam jam untuk menyediakannya bagi setiap kelas.
“Jika saya tidak berpuas hati dengan tulisan tangan saya, saya akan mengoyakkan halaman itu dan mulakan semula,” katanya.
Walaupun sudah menginjak usia emas, Ying masih mempunyai matlamat baharu.
“Saya bercadang untuk membuka rumah jagaan dan mendedikasikan baki kehidupan saya kepada masyarakat bagi membantu warga tua menjalani tahun-tahun akhir mereka dengan kegembiraan,” katanya yang sedang menjalankan penyelidikan sosial untuk projek baharu itu. – AGENSI










