PETALING JAYA: Laluan Pas untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tidak mudah seperti sebelum ini memandangkan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini adalah kerajaan, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, ini kerana sentimen pada waktu kini tidak sama dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang benar-benar melonjakkan ‘gelombang hijau’ sehingga memberi kemenangan besar kepada Pas khususnya.
“PH dan Pas sebenarnya ada peluang yang setara untuk menang pada PRK kali ini, ia disebabkan sentimen sudah berubah yang menyaksikan angin protes sudah mula reda terhadap kerajaan Perpaduan. Kalau kita lihat PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, ada perkembangan yang positif dari sokongan terhadap PH dan sebagainya.
“Sentimen yang ada sekarang tidak seperti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kuat seperti korupsi dan sebagainya. Malah, kerajaan sekarang sudah stabil semua pihak sudah mula fokus kepada ekonomi dan tidak mahu sangat kepada berpolitik. Jadi, mereka yang nak kan kestabilan itu lebih cenderung untuk memilih PH.
“Jadi, kita akan lihat sejauh mana Pas dan Bersatu akan menarik pengundi untuk menyokong mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, faktor calon turut memainkan peranan penting bagi memenangkan sesebuah parti memandangkan peratusan pengundi Melayu tertinggi iaitu hampir 60 peratus atau kira-kira 23,230 daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 39,187 orang.
“Memang Pas ada penyokong yang besar di Nibong Tebal, tetapi mereka tidak boleh menang dengan bergantung kepada penyokong mereka sahaja. Strategi untuk menarik pengundi itu sangat penting jika Pas ingin mengekalkan kemenangan. Jika tidak, ia bukan suatu yang mudah untuk Pas menang seperti sebelum ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, kerusi itu pernah dikuasai UMNO pada PRU 2004 yang empat tahun kemudiannya dirampas Pakatan Rakyat (PR) yang digantikan dengan PH membabitkan gabungan PKR-DAP-Amanah.
Namun pada PRN lalu, PN pula menguasainya dimana Nor Zamri Latiff dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.
Dalam pada itu, Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, sentimen gelombang hijau dilihat semakin terhakis berikutan kecenderungan banyak pihak terhadap kerajaan perpaduan.
“Dalam hal ini, terdapat dua faktor yang akan memberi kemenangan, iaitu faktor berapa banyak peratusan keluar mengundi, jika tinggi peratusannya, calon Kerajaan Perpaduan akan menang. Satu lagi faktor adalah berapa ramai pengundi putih akan keluar. Ini kerana pengundi putih itu yang merupakan gerakan akar umbi sekali gus boleh memenangkan calon yang bertanding,” katanya.











