IPOH: Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua lelaki dalam kejadian di Desa Pakatan, Ahad lalu.
N. Devid, 25; K. Navin, 22, bersama Musraf Mustafa, 22, dan adiknya, Muhamad Yasir, 21, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada J. Navin Kumar, 27, di sebuah rumah di Persiaran Pengkalan Timur 11, Desa Pakatan, Ipoh pada pukul 1.30 pagi, 26 Mei 2024.
Pada prosiding sama, Devid, Musraf dan Muhamad Yasir juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adik Navin Kumar iaitu Dheeva Balan, 21, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. M. Moganaraj Mithra mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam, G. Harbhajan Singh yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan minimum.
Majistret Farah Nabihah Muhamad kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,300 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah juga menetapkan 14 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret S. Punita, Navin mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan kepada Dheeva Balan dengan menggunakan sebilah parang.
Lelaki yang bekerja di premis cucian kereta itu juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Navin Kumar dengan mengancam akan membunuh dan membakar mangsa serta rumahnya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.
Bagi kesalahan ugutan jenayah pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, K. Nahtan diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 16 Julai depan. – UTUSAN











