MELAKA: Meneruskan agenda pembangunan dan menyantuni rakyat antara harapan besar rakyat terhadap pelantikan semula Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pensyarah, Abd. Aziz Azmi, 35, berkata, Mohd. Ali diharapkan dapat menyumbang idea dalam mempertingkat dan melestarikan ekonomi Melaka khususnya sektor pelancongan.

“Beliau memahami denyut nadi rakyat kerana pernah mentadbir Melaka sebelum ini sebagai Ketua Menteri. Banyak agenda beliau dahulu telah direalisasikan dan manfaatnya dirasai rakyat sehingga sekarang,” katanya.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Mohd. Ali disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Singgahsana Kecil Istana Negara, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Sebelum ini, Mohd. Ali yang juga bekas Ketua Menteri dilantik ke jawatan itu pada 4 Jun 2020 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Nur Hazwani Abdul Wahi, 33, berkata, Mohd. Ali sentiasa menyantuni rakyat sepanjang sepenggal berkhidmat.
Katanya, pelbagai program untuk rakyat telah dilaksanakan khususnya ketika penularan Covid-19.

“Saya menyambut baik pelantikan ini dan berharap usaha menyantuni rakyat dapat diperbanyak selepas ini,” katanya. – UTUSAN











