MELAKA: Polis menahan 17 individu termasuk pasangan kekasih selepas dipercayai terlibat dengan sindiket mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar negeri ini, sejak setahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek terdiri daripada 11 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 dan 44 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah banglo di Alor Gajah dekat sini, kira-kira pukul 12.23 tengah malam pada 25 Mei lalu.
Katanya, serbuan dilakukan Bahagian Risikan, Operasi, Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya merampas pelbagai peralatan dan kenderaan yang digunakan untuk mencuri bernilai kira-kira RM400,000.
“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak setahun lalu. Modus operandi sindiket adalah dengan menyamar sebagai pekerja kontrak TM dan memakai baju pemantul cahaya.
“Lima lelaki yang ditahan disyaki berperanan sebagai perancang utama. Barang curi dilupuskan dengan cara menjual di kedai barangan terpakai di sekitar Melaka dan Selangor,” katanya.
Tambah Zainol, ujian saringan air kencing mendapati 16 suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan mendapati lapan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bermula 26 Mei hingga 30 Mei ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya. – UTUSAN










