KUANTAN: Pasangan kembar qariah cipta kenangan manis apabila masing-masing menang johan dan tempat ketiga Tilawah & Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi.
Pasangan kembar terbabit, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, merupakan johan menunggu dan Nor Jannah, 33, merupakan peserta mewakili Terengganu.
Nor Jannah berkata, kemenangan itu merupakan kenangan manis kali kedua buat dia dan kakaknya yang sebelum ini turut pernah berkongsi pentas dan memenangi johan dan naib johan peringkat negeri.
“Kira ini kali kedualah buat kami di mana sebelum ini di peringkat negeri, kakak menang sebagai johan manakala saya sebagai naib johan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup MTHQK yang diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.
Nor Hidayah pula berkata, kemenangan yang diraih itu adalah berkat doa ibu bapa, suami serta ahli keluarga.
Katanya, ayah mereka Abd. Rahman Omar, 74, merupakan seorang guru al-Quran menjadi inspirasi buat anak kelapan dan kesembilan daripada 10 beradik itu.
Bekerja sebagai penolong pegawai tadbir di Yayasan Islam Terengganu, Nor Hidayah berkata penyertaan kali ini merupakan penyertaan kali kelapan buatnya dan merupakan johan kali kedua selepas menjadi johan pada tahun lalu.
“Ini kali kelapan saya menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan sejak tahun 2010. Tahun lepas johan kebangsaan dan tempat keempat peringkat antarabangsa. Hendak mengekalkan kedudukan sebagai johan itu agak memberi tekanan buat saya sebab rasa payah sikit.
“Tapi apa yang saya capai hari ini (semalam) bukanlah kerana hebatnya saya, tetapi berkat doa emak dan ayah, suami serta ahli keluarga,” katanya.










