Najib cuba halang siasatan 1MDB - Saksi

Najib cuba halang siasatan 1MDB – Saksi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak ada arahan terus daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, hakikatnya ia tetap berlaku.

Menurut Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, antara `usaha’ untuk menghalang dan menutup siasatan skandal tersebut ialah pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.

Selain itu, ia juga melibatkan penahanan empat pegawai SPRM tidak termasuk bekas ahli lembaga penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur berhubung kebocoran siasatan.

Malah pada 11 September 2015, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu sidang media memutuskan siasatan terhadap skandal tersebut sebagai `Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

Jawapan itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang kepada peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Muhammad Shafee: Soalan saya, Puan tiada bukti yang mengatakan ini arahan terus daripada Najib.
Nur Aida: Bagi saya keterangan itu cukup, semua dalam nota itu (dokumen yang dirampas SPRM daripada bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin). Antaranya (menyentuh) pertukaran ketua pesuruhjaya, kes siasatan kita perlu ditutup dengan menggunakan dokumen-dokumen yang diberikan. Semua nota yang dirampas dari Amhari, ada (berlaku).

Muhammad Shafee: Awak seorang pegawai penyiasat (tetapi) bercakap macam duduk di kedai kopi.
Nur Aida: Ini bukan kedai kopi Tan Sri. Arahan secara terus memang tiada tetapi (berdasarkan) siasatan menyeluruh, perkara itu memang berlaku.

Terdahulu saksi pendakwaan ke-49 itu menafikan dakwaan Najib ganggu atau arah siasatan dihentikan adalah satu salah anggapan sebaliknya ia berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam `talking points’ yang disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee: Awak kata ia (arahan) Najib?
Nur Aida: Saksi, Datuk Amhari (tunjukkan) nota yang disediakan Jho Low untuk tutup siasatan.

Muhammad Shafee: Dokumen ini ditujukan kepada siapa?
Nur Aida: Datuk Amhari kata ini nota yang disediakan Jho Low seperti mana arahan Najib.

Muhammad Shafee: Ada apa apa bukti yang membuktikan ini arahan Najib?
Nur Aida: Walaupun Jho Low yang buat (arahan), tapi akhirnya perkara itu berlaku.

Muhammad Shafee: Tapi ada apa-apa yang menyatakan arahan (untuk NFA kes) itu datang dari Najib?
Nur Aida: Saya tiada keterangan direct sedemikian.

Muhammad Shafee: Jadi, ini semua andaian awak sahaja! Awak yang anggap semua ni berlaku.
Nur Aida: Saya tak buat andaian sebab apa yang dikatakan dalam nota itu semuanya berlaku. Amhari juga pegawai Najib.

Naji kini dibicarakan atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN