PETALING JAYA: Emas menjadi pilihan orang ramai bagi melindungi kekayaan daripada terhakis oleh peningkatan inflasi yang akan mengurangkan kuasa membeli orang ramai, kata penganalisis
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga emas yang dijangka akan terus meningkat boleh menjadi sumber pelaburan untuk melindungi kekayaan seseorang daripada terhakis oleh inflasi.
“Kejayaan seseorang dalam pelaburan amat bergantung kepada tempoh masa pegangan. Sebaiknya, strategi pelaburan emas adalah bersifat jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini.
Katanya, harga dan trend jangka panjang emas dijangka menunjukkan paras yang akan terus meningkat.
“Bagaimanapun, kegiatan mengambil untung di dalam pasaran emas sudah pasti akan menyebabkan harga emas turun,” katanya.
Beliau berkata, hubungan antara ketidakpastian ekonomi dan juga harga emas menunjukkan ia berkadaran positif.
“Ini bermakna semakin tinggi ketidakpastian ekonomi, maka harga emas juga akan meningkat naik.
“Berdasarkan apa yang berlaku seperti perang di Ukraine serta krisis kemanusiaan di Gaza serta perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, seolah-olah menunjukkan bahawa ekonomi global dijangka terus berada di paras tidak menentu.
“Perkara itu boleh memberi kesan kepada kelancaran perdagangan antrabangsa yang boleh meningkatkan kos pengangkutan, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi,” ujarnya.
Selain itu, katanya, perubahan dasar ekonomi negara seperti rasionalisasi subsidi yang bertujuan memperbetulkan bantuan yang diberikan kepada rakyat yang layak sahaja kerana subsidi pukal hanya menguntungkan golongan berpendapatan tinggi.
“Justeru, konteks pelaburan emas harus dilihat dalam kerangka pelaburan jangka panjang bagi mendapat pulangan yang tinggi dan membantu seseorang mengatasi dan melindungi kekayaan mereka daripada ancaman inflasi,” katanya.
Afzanizam berkata, permintaan emas daripada bank pusat telah meningkat sebanyak 21.9 peratus setahun iaitu antara 2010 sehingga 2023 dan saiz permintaanya mencecah 1,037.1 tan pada 2023 berbanding 79.2 tan pada 2010, berdasarkan data daripada World Gold Council.
“Oleh itu, pelaburan emas dilihat suatu pilihan pelaburan yang boleh dianggap selamat, namun dinasihatkan supaya melabur dalam organisasi yang sah supaya dapat mengelak daripada ditipu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Wira Louis Ng Chun Hau berkata,
unjuran harga emas bergantung pada keadaan global dan dijangka terus meningkat dengan krisis global terkini seperti ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi.
“Jualan emas cenderung meningkat apabila harganya naik kerana dianggap sebagai aset yang selamat semasa ketidakstabilan ekonomi dan para pelabur lebih cenderung membeli emas untuk melindungi kekayaan mereka,” katanya.
Louis berkata, kenaikan harga emas yang ketara bermula pada awal 2000 sekitar AS$250 (RM1,174.50) seauns sehingga mencapai AS$2,400 (RM11,275.67) seauns pada 2024, terutama dipacu oleh ketidakstabilan ekonomi global.
Mengulas mengenai jangkaan harga emas, harganya berpotensi mencecah AS$2,500 (RM11,744.01) seauns atau RM379 satu gram hujung tahun ini dan menganggap ramalan itu realistik jika krisis global berterusan dan ekonomi tidak stabil.
“Harga emas boleh meningkat lebih daripada AS$2,500 (RM11,744.01) seauns jika krisis perang dan permintaan tinggi untuk emas sebagai aset selamat berterusan.
“Bagaimanapun, para pelabur perlu berwaspada terhadap perubahan ekonomi yang boleh mempengaruhi harga emas,” katanya.-UTUSAN









