ARAU: Malam sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Ernie Natasya Emizal, 18, menerima perkhabaran cukup menyedihkan apabila bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.
Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu menguatkan semangat dan kekal tenang untuk meneruskan peperiksaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila dia memperoleh keputusan cemerlang 8A, sekali gus menjadi hadiah paling bermakna untuk arwah bapanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka itu berkata, pada malam tersebut, dia tidur awal kerana hendak bangun tengah malam untuk belajar sebelum dikejutkan perkhabaran ayah meninggal dunia di sebuah hospital di Alor Setar, Kedah.
Katanya, ketika itu adalah menjelang hari kedua SPM di mana dia akan menduduki kertas bahasa Inggeris.
Ujarnya, berita sedih itu menyebabkan dia berasa kebingungan, terkejut namun masih bertahan tidak mengeluarkan air mata untuk terus memberi tumpuan kepada SPM.
“Saya kuatkan semangat saya untuk menduduki peperiksaan tersebut dan dalam masa sama, hati saya cukup sedih pada masa itu apabila kehilangan insan tersayang.
“Keputusan ini adalah hadiah untuk arwah ayah yang sebelum ini berharap saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Harapan arwah ayah telah saya tunaikan,” katanya.
Tambahnya, kawan-kawan baik dan guru juga banyak memberi semangat untuk dia terus kuat pada masa itu bagi meneruskan peperiksaan.
“Sebelum itu, saya juga berdepan dugaan apabila terlibat dengan kemalangan seminggu sebelum peperiksaan bagaimana saya hanya mengalami luka-luka sahaja,” katanya.
Sementara itu, katanya yang menetap di kuarters penjara Guar Nangka, dia berhasrat menyambung pengajian di peringkat matrikulasi bagi meneruskan cita-cita menjadi seorang akauntan.
“Ibu sekarang tidak bekerja hanya sebagai suri rumah dengan perbelanjaan mereka bergantung kepada pencen arwah ayah sebagai warden penjara,” katanya.











