KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua ‘runner’ sindiket memproses dadah jenis serbuk MDMA dengan rampasan 213.4 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM33.65 juta di sekitar Lembah Klang pada 26 Mei lalu.
Dalam serbuan oleh Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, dua lelaki yang ditahan berusia lingkungan 30-an berperanan membungkus dan mengedar dadah.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan dijalankan di sebuah kondominium di Sentul di sini yang menemukan 13 bekas lutsinar berisi serbuk ungu seberat 199.7 kg dan 499 pek hijau (13.68kg) dadah jenis MDMA.
Katanya, siasatan mendapati kondominium tersebut yang disewa dengan kadar RM2,000 sebulan bagi menyimpan dan membungkus semula dadah.
“Kedua-dua suspek itu yang menerima upah sebanyak RM3,000 itu turut berperanan menghantar dadah tersebut kepadq pelanggan sindiket berkenaan termasuk pusat hiburan sekitar Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak.
“Siasatan lanjut mendapati jus tersebut dijual dengan harga RM300 hingga RM600 satu pek untuk 27 gram. Harga pasaran untuk satu kg MDMA dianggarkan bernilai RM167,000.
“Sindiket itu dipercayai telah bergerak aktif sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Kok Chin, pemeriksaan lanjut mendapati kedu-dua suspek yang merupakan penganggur mempunyai 10 rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah.
Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini di bawah Seksyen 39B 1952,” katanya.
Tambahnya, pihak polis kini sedang mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas serta rakan sekutu.
“Kita sedang giat menyiasat dalang yang memproses serbuk MDMA itu selain sedang meneliti sumber negara bekalan itu diperolehi dan dibawa masuk tetapi kita tidak mahu cepat menyimpulkan ia dibawa dari kawasan segi tiga emas (Thailand, Vietnam dan Laos),” ujarnya.- UTUSAN









