KUANTAN: Menjadi peserta paling berusia tidak menghalang seorang guru al-Quran untuk bersaing dengan peserta lebih muda dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Normawaty Sahat, 51, yang mewakili Melaka berkata, dia menganggap berdepan dengan peserta yang rata-ratanya lebih muda sebagai satu persaingan sihat.
Peserta kelahiran Batu Berendam, Melaka Tengah itu berkata, ini penyertaan kali pertamanya di peringkat kebangsaan dan kali kelima bagi peringkat negeri.
Menurutnya lagi, dia mula berkecimpung dalam dunia tilawah seawal usia 11 tahun dan turut menyertai beberapa pertandingan di peringkat sekolah.
Malah katanya, dia yang ketika itu sudah mula mahir dengan dua jenis lagu iaitu bayati dan hijaz turut pernah mewakili sekolah di peringkat negeri pada usia 12 tahun.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, minatnya terhadap tilawah terhenti seketika bagi memberi tumpuan kepada pelajaran dan kembali aktif pada usia 33 tahun.
“Arwah ayah kata muka saya ada iras seorang kariah yang juga merupakan sumber inspirasi saya, Hajah Rahmas Abdullah, jadi arwah ayah minta saya jadi sepertinya.
“Disebabkan dorongan dari arwah ayah dan arwah ibu, selain doa dan sokongan dari adik beradik dan keluarga, saya berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan,” katanya.










