IPOH: Kilang kitar semula bateri lithium-ion, EcoNili Battery New Energy Sdn.Bhd (EcoNili) hari ini melancarkan kilang pertama yang dilengkapi Loji Hidrometalurgi yang mampu memproses 24,000 tan bateri terpakai dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif EcoNiLi, Datuk Jayden Goh berkata, kilang yang dibina dengan kos hampir RM50 juta itu dilengkapi sistem loji bagi proses Pemulihan Sumber Logam Kritikal Bersepadu EcoNili.
“Kami amat berbesar hati dengan pelancaran kilang dan loji EcoNili ini yang terbesar di negara ini hari ini. Ini sejajar dengan dasar kerajaan yang amat peka dan prihatin dengan sektor tenaga baharu yang boleh diperbaharui.
“Kilang dan loji ini yang terletak di Kawasan Perindustrian Tasek mampu memproses 24,000 tan bateri terpakai dalam tempoh setahun,” katanya kepada pemberita pada pelancaran kilang tersebut di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa
Jayden berkata, pembukaan kilang dan loji di negeri ini kerana lokasi Perak yang strategik dan negeri ini sebagai hab automotif global.
“Cabaran utama industri ini ialah kos logistik. Kami perlu dekat dengan pelanggan dan Perak berada di tengah-tengah Semenanjung.
“Pelanggan kami berada di Kedah, mereka mengeluarkan bateri baharu dan mereka akan menjadi pembekal utama yang lokasinya berdekatan dengan Perak.
“Pulau Pinang pula adalah hab pembuatan, terdapat banyak bateri untuk dikitar semula dan dirawat dan mereka akan memerlukan vendor besar dan berkelayakan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka loji fasa kedua di Gopeng selepas kilang dan loji pertamanya di Ipoh mencapai kapasiti 100 peratus pengeluaran.
“Ia bagi menampung permintaan domestik dan global disamping merancakkan lagi industri kitar semula terutamanya negeri Perak sebagai hab rantaian kitaran semula bateri Lithium-Ion di Asia.
“Loji kedua itu akan menjadi loji Hidrometalurgi terbesar di Asia Pasifik dengan kapasiti yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN










