Pupuk perpaduan demi kekuatan negara - PM

Pupuk perpaduan demi kekuatan negara – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata dari masyarakat bidayuh ketika melawat gerai pameran sempena Majlis Perasmian Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI Pemberita: Sharkawi/Faizal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri menggesa Kementerian Perpaduan Negara memberi penekanan kepada usaha menyemai benih semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi melahirkan generasi yang kukuh dan bersatu padu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aktiviti perpaduan itu seharusnya menyentuh segenap lapisan masyarakat termasuk di luar bandar sejak dari bangku sekolah lagi.

Menurut beliau, usaha kementerian untuk memperkasakan Rukun Tetangga dipuji kerana mampu menjadi jentera menyebar roh perpaduan yang boleh menjadi kunci kekuatan sesebuah negara.

“Sebab itu saya kata, kementerian mesti beri penekanaan dan menjelajah ke seluruh negara, tidak hanya di kota besar sahaja, mesti ada kegiatan menerobos dari Rukun Tetangga ke peringkat akar umbi.

“Ini merupakan tanggungjawab anak muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan, negara boleh bangkit kerana semangat perpaduan dan negara boleh hancur kerana perpecahan dan perkauman.

“Kita boleh belajar dari sejarah dunia seperti apa yang berlaku di Rwanda, Yugoslavia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan di Angsana Mall di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Perdana Menteri turut memuji Aaron yang memahami peranan sebenar kementerian dalam usaha menerapkan semangat cintakan negara dan saling menghormati antara kepelbagaian kaum di negara ini.

“Orang fikir Kementerian Perpaduan Negara hanya sekadar berkisar budaya, nyanyian dan tarian, pertunjukan dan pesta semata-mata. Terima kasih kepada Datuk Aaron dan seluruh keluarga Perpaduan kerana faham tugas lebih besar daripada itu.

“Dalam mesyuarat jemaah negeri, saya telah tekankan kepadanya bahawa program-program perpaduan itu mesti menerobos sehingga ke peringkat akar umbi supaya rakyat dari peringkat sekolah ditanam (semangat perpaduan),” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×