SEREMBAN: Kejadian angin ribut yang melanda Kampung Batang Benar di sini petang kelmarin disifatkan penduduk sebagai paling buruk pernah berlaku sehingga menyebabkan 10 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batang Benar, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi, kawasan kampung itu memang sering berlaku angin kuat namun kejadian yang berlaku kelmarin disusuli hujan lebat telah menyaksikan kebayakan rumah terjejas di bahagian bumbung.
“Kejadian kali ini boleh dikatakan paling teruk di Kampung Batang Benar, ada rumah terjejas teruk sehingga 20 keping atap zink telah diterbangkan angin.
“Ada penduduk yang baru sahaja menggantikan bumbung rumah selepas kejadian ribut sebelum ini namun kali ini ia berlaku lagi. Kebanyakannya rumah penduduk di sini strukturnya sudah lama yang mungkin menyebabkan ia teruk terjejas,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya lagi, sebagai tindakan segera, pihaknya akan membantu memasangkan zink bumbung baharu di rumah penduduk yang terjejas.
“Ia hasil sumbangan dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar yang bertujuan memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjejas,” katanya lagi.-UTUSAN.










