PETALING JAYA: Inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada April 2024 untuk tiga bulan berturut-turut dengan mata indeks mencatatkan 132.4 berbanding 130.0 pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan mata didorong oleh kenaikan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 3.5 peratus berbanding Mac pada 3.0 peratus.
Katanya, ini diikuti penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 3.1 peratus (Mac 2024: 2.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pula 3.0 peratus (Mac 2024: 3.0 peratus).
“Makanan dan minuman serta pengangkutan masing-masing mencatatkan peningkatan 2.0 peratus dan 0.8 peratus, manakala, maklumat dan komunikasi menurun kepada negatif 2.5 peratus, pakaian dan kasut (-0.3 peratus) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (-0.1 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.5 peratus pada bulan April lalu berbanding 3.0 peratus pada Mac.
“Ini disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman sebanyak 3.9 peratus berbanding 3.7 peratus dan perkhidmatan penginapan sebanyak 2.4 peratus berbanding 0.6 peratus pada Mac 2024,” katanya.
Selain itu, inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan meningkat 3.1 peratus pada April berbanding 2.6 peratus pada bulan sebelum.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan lebih tinggi bagi kelas perbelanjaan barang kemas dan jam tangan sebanyak 17.0 peratus (Mac 2024: 16.1 peratus), seiring kenaikan harga emas di pasaran global pada April,” katanya.
Katanya, inflasi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat pada kadar sama seperti direkodkan pada Mac 2024 iaitu 3.0 peratus didorong peningkatan lebih tinggi subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman (31.6 peratus.).
Bagi kumpulan makanan dan minuman pula menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan 2.0 peratus pada April berbanding 1.7 peratus pada Mac.
“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat secara marginal kepada 0.4 peratus pada April 2024 (Mac 2024: 0.3 peratus) disumbangkan oleh peningkatan di kebanyakan kelas perbelanjaan.
“Kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan peningkatan 3.2 peratus berbanding Mac (0.0 peratus), diikuti oleh bijirin dan produk bijirin (1.9 peratus), gula, manisan dan pencuci mulut (1.3 peratus), susu, produk tenusu lain dan telur (1.0 peratus) dan buah-buahan dan kacang (0.9 peratus),” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua ikan dan makanan laut lain serta daging masing-masing merekodkan penurunan negatif 2.3 peratus dan negatif 0.9 peratus.
Tambahnya, inflasi pengangkutan mereda kepada 0.8 peratus pada April berbanding 1.3 peratus pada Mac disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.3 peratus (Mac 2024: 1.4 peratus).
“Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada April adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.35 seliter pada April 2023 (Mac 2024: RM3.47),” katanya.-UTUSAN










